Kunjungan Anwar ke Kelantan perkasa institusi agama, prasarana
KEHADIRAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam dua majlis keagamaan di Kelantan, baru-baru ini, memperlihat dimensi kepemimpinan melangkaui urusan pentadbiran dan pembangunan fizikal.
Program di Madrasah Al-Rahmaniah Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas dan Sebarkan Salam @ Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi bukan sekadar pertemuan bersama ulama, tetapi ruang menghubungkan institusi negara dengan tradisi ilmu, masyarakat akar umbi dan agenda pembangunan negeri.
Di Lubuk Tapah, kehadiran Anwar mempunyai makna peribadi dan institusi. Beliau menziarahi keluarga tokoh pondok yang pernah membimbing serta memberikan dorongan kepadanya, sebelum menunaikan solat Maghrib bersama lebih 100 penduduk. Kunjungan itu turut disertai Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Kunjungan Perdana Menteri ke Pondok Lubuk Tapah turut memberikan petunjuk positif terhadap hubungan beliau dengan jaringan ulama dan institusi pondok di Kelantan. Pondok Lubuk Tapah diasaskan pada 1931, antara institusi pendidikan Islam tradisional bersejarah dan berpengaruh di negeri berkenaan, sebaris dengan Pondok Pasir Tumboh dalam tradisi pengajian pondok.
Hubungan peribadi Anwar dengan Allahyarham Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman, yang kini diteruskan melalui kunjungan kepada keluarganya, memperlihat hubungan itu mempunyai akar sejarah panjang.
Sambutan pihak pondok dan keterbukaan membincangkan masa depan pendidikan tradisional menyediakan asas bagi mengeratkan lagi hubungan antara kepemimpinan negara dengan institusi ulama tempatan.
Intipati ucapan Anwar tertumpu pada keperluan mengimbangi kemajuan teknologi dengan pemeliharaan warisan keilmuan. Gagasan ‘menggapai di langit, mengakar di bumi’ digunakan untuk menegaskan penguasaan kecerdasan buatan (AI) dan ilmu baharu tidak harus memutuskan masyarakat daripada akidah, akhlak serta tradisi turath.
Menurut beliau, institusi pondok pernah menjadi benteng identiti masyarakat ketika penjajahan dan kini perlu diperkasa supaya terus relevan menghadapi perubahan zaman.
Lebih penting, Anwar mengetengahkan cadangan membuka laluan pendidikan pondok sehingga peringkat universiti, tanpa menghapuskan kekuatan kurikulum dan tradisi pengajiannya. Gagasan ini mempunyai implikasi terhadap mobiliti pendidikan, pengiktirafan ilmu serta peluang masa depan pelajar pondok.
Komitmen itu disertai sumbangan RM200,000 kepada Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah yang mempunyai kira-kira 300 pelajar, termasuk golongan warga emas untuk penyelenggaraan dan baik pulih, termasuk kemudahan asrama serta pendawaian elektrik.
Pada sebelah malam, kehadiran Anwar dalam program Sebarkan Salam @ Kota Bharu Berselawat menarik penyertaan lebih 3,000 masyarakat, ulama dan pemimpin.
Sambutan itu memperlihat keupayaan majlis ilmu menjadi medan pertemuan pelbagai lapisan masyarakat. Kehadiran rakyat dalam jumlah besar turut menggambarkan minat masyarakat Kelantan terhadap kegiatan keagamaan, tradisi berselawat dan interaksi langsung dengan kepemimpinan negara.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan budaya iqra, adab, kefahaman agama serta kepentingan menghidupkan semula khazanah turath. Beliau turut menyentuh usaha memperkenal pembelajaran teknologi, termasuk AI di institusi pondok tanpa mencampuri manhaj dan kurikulum ditentukan tok guru.
Penekanan terhadap budaya salam pula membawa mesej persaudaraan, hormat-menghormati dan perpaduan masyarakat. Pendekatan ini menawarkan kerangka penyatuan antara tradisi dan inovasi yang boleh memperkaya agenda pendidikan negara.
Terima RM250 juta bina terminal bas
Menariknya, majlis itu turut menjadi ruang pengumuman pembangunan lebih luas. Anwar mengumumkan kelulusan RM250 juta bagi pembangunan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral, selain RM645,000 untuk projek wakaf air dan solar di masjid terpilih serta RM2.5 juta bagi kemudahan dialisis melalui kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia dan Radicare.
Dalam konteks Kelantan, kehadiran Anwar bersama Menteri Besar membawa makna penting terhadap hubungan Persekutuan-negeri. Kerjasama antara kedua-dua kerajaan menggambarkan kepentingan kerjasama Persekutuan-negeri mengutamakan keperluan rakyat.
Perbezaan politik tidak dijadikan alasan untuk menjejaskan pembangunan pendidikan, pengangkutan dan kesihatan.
Pada masa sama, kehadiran Anwar dan pelbagai pengumuman pembangunan memberikan bukti nyata Kelantan terus menerima perhatian Kerajaan Persekutuan, meskipun ditadbir parti politik berbeza.
Kelulusan pembangunan KB Sentral, bantuan kepada institusi pendidikan Islam dan inisiatif kebajikan berasaskan masjid menunjukkan komitmen merangkumi keperluan fizikal, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.
Perkembangan ini menjadi asas wajar diambil kira dalam menilai dakwaan Kelantan dipinggirkan daripada agenda pembangunan nasional.
Dari perspektif politik dan hubungan Persekutuan-negeri, keterbukaan institusi pondok serta kerjasama ditunjukkan kepemimpinan negeri boleh menjadi titik pertemuan untuk membina hubungan politik lebih matang dan konstruktif.
Perkembangan ini menyediakan ruang untuk mengurangkan pertentangan tidak produktif dan menggalakkan kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang dalam perkara yang menyentuh kepentingan rakyat.
Dalam hal ini, hubungan baik antara kepemimpinan negara, ulama dan kerajaan negeri berpotensi memperkukuh budaya politik yang mengutamakan muafakat tanpa menghapuskan perbezaan pandangan.
Bagi Anwar pula, kedua-dua majlis memberikan ruang memperlihatkan hubungan berterusan dengan ulama dan pendekatan kepemimpinan menggabungkan nilai, pendidikan serta pembangunan.
Pada peringkat nasional, kedua-dua program memperlihat potensi institusi agama sebagai rakan pembangunan sosial yang menyumbang kepada pembentukan sahsiah, peluasan ilmu dan penyampaian kebajikan. Agenda ini wajar digerakkan secara inklusif, menghormati kepelbagaian masyarakat Malaysia serta mengekalkan tadbir urus berasaskan keperluan.
Kesimpulannya, nilai utama kunjungan Anwar ke Kelantan terletak pada usaha menjadikan warisan ilmu sebagai sumber kemajuan dan menjadikan komitmen pembangunan sebagai manfaat nyata kepada rakyat.
Kemajuan negara bukan sekadar membina infrastruktur moden, tetapi turut memelihara akar peradaban, memperkukuh hubungan kemasyarakatan dan memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Kredit : Berita Harian