Afdlin Shauki mohon maaf, nafi ‘body shaming’

Afdlin Shauki mohon maaf, nafi ‘body shaming’

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Datuk Afdlin Shauki tampil memohon maaf secara terbuka kepada penyanyi Aina Abdul susulan jenaka yang dilontarkannya ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Threads, Afdlin turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya melakukan penghinaan fizikal atau ‘body shaming’, sebaliknya menegaskan gurauan itu merujuk kepada saiz busana penyanyi berkenaan.

“Selalunya abang tak jelaskan jenaka yang abang buat, tetapi kali ini abang nak jelaskan sendiri apa yang abang maksudkan masa FFM35.

“Abang memang peminat Aina Abdul. Abang ikuti perjalanan Aina dari jauh, tengok macam mana dia bina nama dan lalui macam-macam untuk sampai ke tahap sekarang,” katanya.

Menurut Afdlin, keberanian dan konsistensi penyanyi lagu Bluest Sky itu dalam bereksperimen dengan fesyen membuatkan identitinya mudah dikenali ramai sehingga mendorongnya memetik nama penyanyi itu sebagai bahan jenaka.

“Dalam ramai-ramai artis kita, Aina antara yang paling berani bereksperimen dengan fesyen. Dia buat dengan begitu konsisten sampai orang nampak busana dari jauh pun dah tahu, ‘Ha, itu mesti Aina Abdul.’ Itu namanya penjenamaan yang menjadi.

“Sebagai hos, abang suka selitkan gurauan mengenai rakan-rakan seni yang abang kagumi. Masa mengacara Anugerah Industri Muzik (AIM) dulu pun abang pernah bergurau mengenai Zee Avi, Datuk Sheila Majid, Allahyarham Adibah Noor, Jaclyn Victor dan ramai lagi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu ‘body shaming’ yang dibangkitkan netizen, Afdlin menjelaskan dia sendiri pernah menjadi mangsa komen mengenai bentuk badan dan tidak sesekali berniat memperlekehkan fizikal sesiapa.

“Punchline malam itu mengenai saiz busana dan apa jadi pada pandangan kamera kalau busana segah itu ada di barisan depan. Abang sendiri dah lama menerima komen mengenai tubuh badan, jadi abang tahu macam mana rasanya bila badan kita dijadikan bahan lawak.

“Abang sebut nama Aina sebab gaya dia cukup kuat sampai orang terus kenal. Keberanian dia itulah yang abang nak tonjolkan,” katanya.

Dalam hantaran sama, Afdlin turut memohon maaf sekiranya gurauan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang penyanyi itu selain menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengannya pada masa hadapan.

“Aina, kalau cara abang bergurau malam itu buat Aina rasa tak selesa, abang minta maaf. Abang tak berniat nak menyindir Aina. Abang memang peminat tegar, dan Insya-Allah kalau ada rezeki, abang teringin sangat nak bekerja dengan Aina suatu hari nanti.

“Cara orang menerima gurauan dah banyak berubah sejak zaman abang mula mengacara. Sekarang, beberapa saat dari satu malam boleh beredar sendiri dan orang dengar dengan macam-macam tafsiran.

“Kepada yang menegur, abang dengar dan kepada yang dah lama tak berkenan dengan abang, abang doakan yang baik-baik juga,” katanya.

Kredit : Berita Harian