Kuala Lumpur: Alasan panas baran, tertekan dengan masalah hidup atau berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah tidak boleh dijadikan justifikasi bagi perbuatan keganasan rumah tangga kerana pelaku sebenarnya sedar dan memilih untuk bertindak ganas terhadap pasangan mereka.
Pakar Perunding Kanan Jabatan Perubatan Rawatan Utama Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Sajaratulnisah Othman berkata ramai pelaku menggunakan alasan kononnya mereka hilang kawalan akibat tekanan emosi atau sifat pemarah.
Namun, beliau berkata perkara itu tidak boleh diterima kerana kebanyakan pelaku masih mampu mengawal tingkah laku dan kemarahan mereka dalam situasi lain termasuk ketika berdepan majikan, rakan sekerja atau pihak berkuasa.
“Seseorang mungkin memang mempunyai sifat panas baran tetapi dia memilih kepada siapa kemarahan itu mahu dilepaskan. Tidak semestinya dia akan menunjukkan kemarahan kepada bos, rakan sekerja atau polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu di podcast Listen: Dengar, Fahami, Bertindak yang bertajuk “Di sebalik Trauma: Memahami Jiwa Keganasan Rumah Tangga”, terbitan Bernama dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersempena dengan Kempen Advokasi Hentikan Keganasan Rumah Tangga di Wisma Bernama di sini malam tadi.
Sajaratulnisah berkata keganasan rumah tangga lazimnya tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya boleh bermula dengan tingkah laku mengongkong dan mendominasi pasangan yang pada awalnya disalah anggap sebagai sikap mengambil berat.
Beliau berkata perbuatan itu boleh berkembang kepada penderaan emosi dan fizikal seperti mengherdik, menolak serta menampar, menyebabkan mangsa mengambil masa untuk menyedari bahawa mereka sebenarnya berada dalam hubungan tidak sihat.
“Mangsa juga cenderung memaafkan atau memperkecilkan perbuatan penderaan yang dialami, selain menyalahkan diri sendiri kerana menganggap tindakan atau tingkah laku mereka menjadi punca pasangan bertindak ganas,” katanya.
Sementara itu, seorang pemandiri keganasan rumah tangga Dahlia (bukan nama sebenar) berkongsi bahawa dia berdepan penderaan selama empat tahun sepanjang perkahwinannya.
Dahlia pada awalnya menganggap perbuatan menolak dan pertengkaran sebagai perkara biasa dalam rumah tangga, malah pernah menyalahkan diri sendiri kerana merasakan sikapnya yang melawan menjadi punca bekas suami bertindak sedemikian.
Lebih mengecewakan, orang sekeliling turut menganggap Dahlia sebagai punca konflik, sekali gus menguatkan rasa bersalah yang dipendam.
“Bila berlaku pergaduhan dan keganasan, saya akan lari dari rumah untuk menenangkan diri. Masa itu saya menyalahkan diri sendiri. Saya fikir sebab saya melawan, sebab itu berlaku macam itu,” katanya.
Bagaimanapun, Dahlia berkata situasi itu semakin memburuk selepas kelahiran anak sulungnya apabila dia mengalami patah tulang hidung dan keretakan pada tangan kanan akibat keganasan yang dilakukan bekas suami.
Dia akhirnya mendapatkan bantuan menerusi Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di hospital sebelum dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan dan menjalani sesi kaunseling.
Dahlia berkata kesedaran untuk keluar daripada hubungan tidak sihat itu semakin kuat apabila anak sulungnya mula menceritakan satu demi satu kejadian keganasan yang disaksikannya, termasuk ketika cuba meleraikan pergaduhan.
Susulan pengalaman itu, Dahlia menasihatkan langkah pertama untuk keluar dari kitaran keganasan ialah mendapatkan bantuan daripada pihak yang boleh dipercayai, termasuk membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di hospital.
“Paling penting sebenarnya, kita kena cari orang yang boleh dipercayai untuk bawa kita keluar,” katanya.
Dalam pada itu, Sajaratulnisah berkata perubahan tingkah laku pelaku hanya boleh berlaku sekiranya individu itu sendiri mempunyai keinginan untuk berubah dan mendapatkan bantuan.
Beliau berkata kajian menunjukkan seseorang pelaku tidak akan berubah hanya kerana dipaksa oleh pasangan, mahkamah atau pihak lain.
“Untuk pelaku berubah, mesti daripada diri mereka sendiri. Mereka sendiri mesti mahu berubah. Kalau perubahan itu hanya kerana disuruh pasangan atau diarahkan mahkamah, kebanyakannya tidak berkekalan. Mereka mungkin berubah seketika, tetapi tidak semestinya berhenti daripada mendera,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa masyarakat agar berhenti menormalisasikan keganasan rumah tangga dengan alasan perkara itu berpunca daripada sikap panas baran semata-mata, sebaliknya memahami bahawa keganasan adalah satu pilihan tingkah laku yang dilakukan pelaku terhadap mangsa.
Beliau berkata mangsa yang berdepan keganasan rumah tangga boleh mendapatkan maklumat serta sokongan menerusi Talian Kasih 15999 dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Women’s Aid Organisation(WAO) serta All Women’s Action Society (AWAM).
Kredit : Harian Metro
