Rakyat Malaysia bakal menerima notifikasi amaran kecemasan terus ke telefon pintar menerusi sistem baharu dikenali sebagai MySiren, yang akan menjalani ujian secara serentak di seluruh negara pada 29 November 2026, jam 10.10 pagi.
Sistem amaran awal kecemasan itu diperkenalkan bagi membolehkan maklumat mengenai bencana dan ancaman keselamatan disampaikan kepada orang ramai dengan lebih pantas, khususnya mereka yang berada di kawasan terjejas.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan mesej kecemasan dihantar terus kepada telefon pintar yang serasi melalui rangkaian 4G dan 5G.
https://www.facebook.com/SuruhanjayaKomunikasiMultimediaMalaysia?ref=embed_post
Apa Itu MySiren Dan Bagaimana Sistem Amaran Kecemasan Ini Berfungsi?
MySiren merupakan sistem amaran awal kebangsaan yang dibangunkan untuk menyampaikan maklumat penting kepada masyarakat ketika berlaku kecemasan atau bencana.
Berbeza dengan sistem pesanan ringkas (SMS) biasa, teknologi CBS membolehkan amaran dihantar secara serentak kepada telefon pintar yang berada dalam kawasan geografi tertentu.
Ini bermakna pihak berkuasa boleh menyasarkan mesej amaran kepada penduduk di lokasi yang terjejas tanpa perlu menghantar pesanan kepada setiap nombor telefon secara individu.
Malah, teknologi tersebut mampu menyampaikan mesej amaran dalam tempoh kurang seminit, berbanding penghantaran SMS secara pukal yang boleh mengambil masa sehingga sejam atau lebih.
Antara situasi kecemasan yang boleh melibatkan penggunaan sistem ini termasuk banjir, tsunami, cuaca buruk, kebakaran besar, kejadian melibatkan bahan berbahaya serta ancaman keselamatan awam.
Ujian MySiren Seluruh Negara Pada 29 November 2026
MCMC mengesahkan ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara akan diadakan pada Ahad, 29 November 2026.
Kredit : Beautifulnara

