KUALA LUMPUR: Menikmati hidangan bersama sambal belacan sudah menjadi kebiasaan masyarakat di negara ini, tetapi penghasilan sambal cili padi bunga raya yang unik mampu memberi kelainan kepada mereka yang gemarkan rasa makanan tradisional.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bunga raya mempunyai rasa yang enak apabila dijadikan sambal atau jeruk, malah teksturnya yang lembut dengan warna merah menjadikan resipi menjadi bertambah menarik.
Susulan itu, Eksekutif Sous Chef Hotel St Regis, Azizi Taslim, berkata bunga raya yang juga bunga kebangsaan menjadi antara pilihan makanan khusus dalam pembuatan sambal yang ditampilkan hotel itu kali ini bagi memartabatkan unsur nasionalisme dalam hidangan.

Katanya, idea menghasilkan sambal bunga raya diperoleh selepas pihaknya melakukan beberapa penyelidikan dan kajian bagi memastikan bunga itu sesuai dijadikan bahan masakan yang enak.
“Tidak ramai yang tahu bunga raya boleh dimakan, lebih-lebih lagi generasi baharu, sebab itu kami mencipta hidangan unik ini untuk dinikmati orang ramai.

“Hotel St Regis mempelopori menu istimewa ini yang bakal dihidangkan bersama masakan tradisional lain, sekali gus usaha ini dapat memperkasakan makanan tradisional berasaskan herba dan mengetengahkan hidangan yang sukar ditemui di kota raya ini.
“Sebenarnya setiap tahun kami menawarkan pelbagai jenis sambal mengikut konsep dan tema, kali ini hidangan bufet berbuka puasa bertemakan Warisan Melayu,” katanya sempena Malam Warisan Melayu, malam tadi.
Turut hadir, Pengurus Besar Hotel St Regis, Anja Frankenbach dan Pengarah Komunikasi dan Pemasarannya, Vanessa Wong.
Tidak lapuk ditelan zaman, herba dan pelbagai jenis bunga memang biasa dijadikan ramuan yang menjadi identiti dalam sajian masakan Melayu, selain dijadikan ubat tradisional digunakan dalam kalangan masyarakat kampung.
Keaslian ramuan daripada bahan semula jadi ini menjadikan menu disajikan, khususnya berasaskan lauk kampung bukan saja lebih enak, malah aromanya mampu membangkitkan selera.
Bagaimanapun, sajian asli Melayu berasaskan bunga seperti bunga raya, bunga betik dan bunga roselle semakin jarang diketengahkan secara komersial, sedangkan ia antara elemen dalam masakan Melayu.
Azizi berkata, bagi mengangkat keistimewaan herba dan bunga dalam masakan, bufet Ramadan Hotel St Regis tampil dengan pelbagai resepi unik tradisional Melayu terutama sambal cili padi bunga raya untuk disajikan kepada pengunjung.
“Tahun lalu, kami bawa konsep buah-buahan tempatan dalam juadah termasuk dijadikan sambal, tahun ini pula kami ketengahkan tema bunga dan herba,” katanya.
Azizi yang turut melakukan demonstrasi penghasilan sambal bunga kantan, berkata persediaan untuk memperkenalkan juadah tradisional seperti ini mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum menjayakannya kerana membabitkan beberapa proses termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Beliau yang bekerja selama tujuh tahun di hotel itu berkata, sebelum ini menu juadah buka puasa banyak berasaskan makanan luar negara seperti menu Arab, namun bermula 2018, pihaknya mula mengetengahkan idea makanan tempatan dari 14 negeri untuk dijadikan konsep juadah berbuka puasa.
“Selain sambal bunga raya, turut menjadi ‘signature’ bagi juadah buka puasa tahun ini ialah sambal hitam misai kucing ikan bilis, sambal hitam bunga roselle, sambal merah bunga kantan, sambal belacan pucuk maman dan sambal hijau pucuk manis.
“Kita juga menghidangkan ikan tapai hinava dengan daun limau purut dari Sabah, kerabu salad lembu pedas dengan bunga kantan dari Kedah, ikan kakap rebus masak asam pedas ditambah bendi dan daun kesum serta banyak lagi.
“Menu bufet ditawarkan menampilkan ramuan tradisional herba dan bunga segar seperti bunga raya, bunga betik, bunga kantan, bunga roselle, jantung pisang dan banyak lagi,” katanya.
Azizi berkata, dengan adanya konsep makanan bercirikan tradisional ini, ia mampu memperkasa makanan tempatan yang mungkin sukar diperoleh masyarakat terutama yang tinggal di bandar.
Katanya, menu bufet sempena Ramadan mula ditawarkan kepada pengunjung bermula 27 Mac hingga 21 April dari jam 6.30 petang hingga jam 10.30 malam.
Kredit : Berita Harian