Terdahulu, menerusi sesi live di IG, Uqasaha memberitahu dia terpaksa merahsiakan lokasinya dan Kamal berada atas faktor keselamatan, selain arahan polis.
Selain itu, katanya, apa yang membuatkannya lebih takut apabila penyerang turut mengugut keluarga dan adik-beradiknya.
“Polis meminta kami tidak mendedahkan lokasi kami berada. Ini kerana penyerang turut mengugut keluarga saya. Itu yang membuatkan saya lebih takut lagi.
“Saya tidak sangka kejadian mencurah asid dan sebagainya yang dilakonkan dalam drama benar-benar terjadi kepada saya sendiri.
“Saya sangat trauma, apatah lagi, apabila melihat suami berlumuran darah. Kami tidak tahu apa motif penyerang berbuat demikian, sedangkan tiada sebarang pergaduhan atau permusuhan.
“Cuma, saya minta tolong doakan Kamal baik-baik sahaja. Dia baru sedar daripada ubat bius dan akan menjalani X-Ray.
“Ini kerana saya tidak tahu berapa keretakan pada badannya. Saya merayu tolonglah jangan disebabkan isu ini rakyat Malaysia dan Singapura berbalah.
“Ini bukan sebab negara, tetapi sikap individu itu sendiri. Warga Singapura baik-baik belaka kerana bertungkus-lumus membantu kami pada hari kejadian,” kata Uqasha.
Terdahulu, suspek yang menyerang Kamal bakal didakwa di mahkamah Singapura, hari ini.
Kenyataan Polis Singapura menyebut, lelaki berusia 33 tahun itu akan dituduh di mahkamah kerana disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.

