Hari Wanita Antarabangsa, Ini Fakta Menarik Di Sebaliknya

Setiap kali Hari Wanita Antarabangsa, ramai yang menyambutnya dengan memberi ucapan atau penghargaan kepada wanita di sekeliling mereka.

Namun, tidak semua orang mengetahui sejarah dan fakta menarik yang tersimpan di sebalik sambutan penting ini.

Dari asal-usulnya yang berkait rapat dengan perjuangan hak pekerja wanita sehingga kepada simbol warna dan tradisi yang digunakan hari ini.

Sempena Hari Wanita Antarabangsa, SK ingin kongsikan fakta menarik daripada portal BBC.

Sejarah Hari Wanita Antarabangsa

Menurut portal BBC, Hari Wanita Antarabangsa atau International Women’s Day (IWD) bermula daripada gerakan pekerja pada awal abad ke-20.

Sejarahnya bermula pada tahun 1908 apabila kira-kira 15,000 wanita berarak di New York City bagi menuntut waktu kerja yang lebih pendek, gaji yang lebih adil serta hak untuk mengundi.

Setahun kemudian, Parti Sosialis Amerika mengisytiharkan sambutan pertama Hari Wanita Kebangsaan.

Idea untuk menjadikannya sebagai sambutan peringkat antarabangsa pula dicadangkan oleh Clara Zetkin, seorang aktivis dan pejuang hak wanita.

Pada tahun 1910, beliau mengemukakan cadangan tersebut dalam Persidangan Antarabangsa Wanita Pekerja di Copenhagen.

Cadangan itu mendapat sokongan sebulat suara daripada 100 wanita yang mewakili 17 negara.

Hari Wanita Antarabangsa pertama kali disambut pada tahun 1911 di Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula meraikan hari tersebut secara rasmi pada tahun 1975.

Tema pertama yang diperkenalkan oleh PBB pada tahun 1996 ialah “Celebrating the Past, Planning for the Future” yang bermaksud meraikan pencapaian masa lalu sambil merancang masa depan.

Mengapa Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac?

Pada asalnya, portal BBC menjelaskan bahawa cadangan Clara Zetkin tidak menetapkan tarikh tertentu untuk sambutan ini.

Tarikh 8 Mac dipilih selepas wanita di Rusia mengadakan mogok ketika perang pada tahun 1917 dengan tuntutan “roti dan keamanan”.

Empat hari selepas mogok tersebut bermula, pemerintah Rusia ketika itu terpaksa turun daripada takhta dan kerajaan sementara akhirnya memberikan hak mengundi kepada wanita.

Mengikut kalendar Julian yang digunakan di Rusia ketika itu, mogok wanita tersebut bermula pada 23 Februari. Namun dalam kalendar Gregorian yang digunakan oleh kebanyakan negara di dunia, tarikh itu bersamaan dengan 8 Mac.

Bagaimana Hari Wanita Antarabangsa disambut di seluruh dunia?

Menurut portal BBC, Hari Wanita Antarabangsa merupakan cuti kebangsaan di beberapa negara.

Di China, ramai wanita diberikan cuti separuh hari seperti yang disarankan oleh Majlis Negara.

Di seluruh dunia pula, ribuan acara dianjurkan sempena hari ini seperti perarakan, ceramah, konsert, pameran dan perbincangan mengenai isu wanita.

Di Itali, Hari Wanita Antarabangsa dikenali sebagai Festa della Donna dan bunga mimosa sering dijadikan hadiah.

Di Rusia pula, jualan bunga biasanya meningkat hampir dua kali ganda semasa sambutan ini.

Di Amerika Syarikat, sepanjang bulan Mac disambut sebagai Bulan Sejarah Wanita (Women’s History Month).

Setiap tahun, presiden negara itu akan mengeluarkan pengisytiharan rasmi bagi menghargai pencapaian wanita Amerika.

Mengapa warna ungu dikaitkan dengan Hari Wanita Antarabangsa?

Portal BBC turut menjelaskan bahawa semasa sambutan Hari Wanita Antarabangsa, ramai yang memakai warna ungu, hijau dan putih.

Gabungan warna ini berasal daripada Women’s Social and Political Union (WSPU), sebuah kumpulan di United Kingdom yang ditubuhkan pada tahun 1903 untuk memperjuangkan hak wanita mengundi.

Skema warna tersebut diperkenalkan oleh Emmeline Pethick-Lawrence, yang ketika itu mengendalikan penerbitan Votes for Women bersama suaminya, Fred.

Menurut beliau, warna ungu melambangkan maruah dan kebebasan, putih melambangkan kesucian dalam kehidupan peribadi dan awam, manakala hijau pula melambangkan harapan serta simbol kepada musim bunga.

Kredit : Siakap Keli

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *