Ramadan hadir sebagai madrasah rohani mendidik jiwa agar kembali tunduk dan taat kepada Ilahi. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 mengingatkan puasa diwajibkan agar kita menjadi insan bertakwa.

Dalam dunia digerakkan teknologi dan capaian tanpa sempadan, persoalannya bukan lagi sama ada kita menggunakan media sosial, tetapi bagaimana kita memaknainya.

Media sosial bukan sekadar ruang interaksi, bahkan medan dakwah, platform pendidikan dan wahana membina kesedaran ummah. Jika diurus dengan niat benar dan strategi bijaksana, ia mampu menjadi ladang pahala subur sepanjang Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” (Hadis riwayat Bukhari). Hadis ini memberi isyarat jelas setiap Muslim memikul tanggungjawab menyampaikan kebaikan mengikut kemampuan.

Hari ini, satu hantaran tazkirah ringkas, infografik hadis atau video pendek tadabbur ayat al-Quran mampu menjangkau ribuan bahkan jutaan pengguna dalam masa singkat. Perkongsian kata-kata hikmah, doa harian dan peringatan waktu solat bukan sahaja memberi manfaat kepada orang lain, bahkan saham akhirat.

Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 menegaskan al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia. Justeru, media sosial wajar dimanfaatkan untuk menyemarakkan budaya ilmu, bukan hanya untuk hiburan semata-mata.

Pensyarah, guru, ahli agama dan profesional boleh menghasilkan kandungan ilmiah seperti kupasan ayat, penjelasan hukum fiqh puasa, panduan zakat, serta refleksi akhlak Ramadan dalam bentuk penulisan, video pendek, podcast atau siaran langsung. Kandungan sahih dan bersumberkan rujukan tepat membantu menangkis penyebaran maklumat palsu serta salah faham agama.

Perkembangan kecerdasan buatan (AI) membuka ruang baharu dalam penghasilan kandungan dakwah lebih kreatif dan sistematik. AI boleh membantu merangka skrip tazkirah, menghasilkan reka bentuk grafik Islami, menterjemah teks ke pelbagai bahasa serta menyusun jadual kandungan secara konsisten.

Namun, AI hanyalah alat. Nilai pahala terletak pada niat, kesahihan fakta dan tanggungjawab pengguna. Justeru, setiap kandungan dijana perlu disemak agar tidak tersasar daripada prinsip syariah. Apabila teknologi dimanfaatkan dengan hikmah, ia menjadi wasilah memperluas manfaat dan bukan mengejar capaian atau ‘likes’ semata-mata.

Bentuk ekosistem sokongan rohani

Media sosial berupaya membentuk ekosistem sokongan rohani. Kempen membaca al-Quran 30 juzuk, cabaran sedekah harian atau inisiatif berkongsi juadah berbuka boleh digerakkan secara kolektif. Komuniti maya saling mengingatkan mengenai kebaikan akan mewujudkan budaya amar makruf nahi mungkar dalam bentuk lebih segar dan relevan.

Dalam keghairahan berkongsi, etika tidak boleh diabaikan. Elakkan perdebatan memecahbelahkan, penyebaran aib serta kandungan melalaikan. Ramadan adalah bulan menundukkan hawa nafsu, termasuk nafsu untuk meraih perhatian dan populariti.

Gunakan media sosial untuk menyebar empati, memohon maaf secara terbuka dan mengeratkan silaturahim. Kata-kata yang baik juga adalah sedekah. Satu komen membina mungkin menyelamatkan hati seseorang yang sedang diuji.

Walaupun media sosial boleh menjadi ladang pahala, ia tidak boleh menggantikan ibadah asas seperti solat, tilawah dan qiamullail. Pengurusan masa bijak perlu diamalkan agar kita tidak terperangkap dalam aktiviti dalam talian hingga mengabaikan hubungan langsung dengan Allah SWT.

Gunakan prinsip ‘cipta, kongsi dan tinggalkan’. Hasilkan kandungan bermanfaat, kongsikan dengan niat ikhlas, kemudian kembali kepada ibadah tanpa terlalu terikat kepada reaksi dan angka tontonan.

Dalam era digital, pahala juga boleh dituai melalui jari-jemari. Media sosial bukan hanya platform hiburan semata-mata, tetapi medan amal luas jika digerakkan dengan niat tulus dan ilmu sahih.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *