Skip to content
-
Subscribe to our newsletter & never miss our best posts. Subscribe Now!
  • https://www.facebook.com/
  • https://twitter.com/
  • https://t.me/
  • https://www.instagram.com/
  • https://youtube.com/
PETAI JERUK PETAI JERUK

Rencah Kehidupan

PETAI JERUK PETAI JERUK

Rencah Kehidupan

  • Home
  • Sample Page
  • Home
  • Sample Page
Subscribe
Close

Search

RENCANA

Daya tahan ekonomi, reformasi kukuh rekod pentadbiran Anwar

By petaiking
August 3, 2026 4 Min Read
Comments Off on Daya tahan ekonomi, reformasi kukuh rekod pentadbiran Anwar

LAPORAN Kaji Selidik Ekonomi Malaysia 2026 yang diterbitkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) memberikan gambaran secara umumnya positif mengenai daya tahan ekonomi Malaysia dalam tempoh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun laporan itu bukan penilaian politik terhadap mana-mana pemimpin, ia disediakan Jawatankuasa Kajian Ekonomi dan Pembangunan OECD berdasarkan data sehingga 17 Julai 2026. Oleh itu, penemuannya boleh dianggap sebagai penilaian luar yang bebas terhadap kedudukan ekonomi dan dasar Malaysia.

Antara pengiktirafan terpenting OECD ialah Malaysia terus mencatat pertumbuhan kukuh dan menunjukkan ketahanan menghadapi kejutan luar. OECD menyatakan pertumbuhan ekonomi dan daya tahan terhadap krisis telah menghasilkan peningkatan ketara dalam taraf hidup material rakyat.

Malaysia juga disifatkan semakin menghampiri status negara berpendapatan tinggi dan dijangka melepasi ambang berkenaan sekitar 2028 hingga 2030. Penilaian ini penting kerana kerajaan Anwar mengambil alih pentadbiran ketika ekonomi dunia masih berhadapan kesan pandemik, konflik geopolitik, kenaikan harga tenaga, ketegangan perdagangan dan ketidaktentuan rantaian bekalan.

Pada 2025, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus, hampir menyamai prestasi kukuh pada 2024, meskipun negara berhadapan perubahan tarif Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik. OECD menjangkakan pertumbuhan kekal kukuh pada 4.9 peratus bagi 2026 dan 5.0 peratus pada 2027.

Pertumbuhan ini disokong kitaran teknologi global, pelaburan pusat data, pemulihan pelancongan, penggunaan domestik dan pasaran pekerjaan mantap. OECD turut menyatakan permintaan terhadap pusat data dan kecerdasan buatan (AI) meningkatkan eksport serta pelaburan langsung asing dalam sektor maklumat dan komunikasi.

Perkembangan pasaran buruh juga memberi gambaran yang baik terhadap pengurusan ekonomi semasa. Kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus pada November 2025, iaitu kadar terendah dalam tempoh sedekad.

Pada masa sama, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada hampir 71 peratus, tahap tertinggi dalam sejarah, didorong peningkatan penyertaan wanita dan penyerapan pekerja berusia. Pertumbuhan gaji turut disokong pelarasan gaji minimum dan pelaksanaan kenaikan gaji sektor awam secara berperingkat.

Kerajaan juga boleh dikreditkan kerana berjaya mengimbangi pertumbuhan dengan usaha memperbaiki kedudukan fiskal. Defisit Kerajaan Persekutuan mengecil kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, lebih pantas daripada jangkaan Belanjawan 2025 dan selaras dengan saranan OECD terdahulu.

OECD mengaitkan pencapaian berkenaan dengan kawalan perbelanjaan, hasil kerajaan kukuh, keuntungan korporat dan penambahbaikan pentadbiran percukaian, termasuk pelaksanaan e-Invois. Lebih penting, konsolidasi fiskal dilaksanakan secara beransur-ansur tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Subsidi bersasar lebih mampan

Penubuhan Pangkalan Data Utama (PADU) turut mendapat perhatian khusus. OECD menyifatkan PADU berpotensi menjadi asas penting kepada peralihan daripada subsidi pukal kepada bantuan bersasar lebih mampan.

Dilancarkan pada awal 2024, sistem berkenaan menghimpunkan maklumat sosioekonomi 30.7 juta rakyat dan penduduk tetap, menggunakan data daripada lebih 200 agensi kerajaan.

Sejak 2025, PADU digunakan untuk membantu penentuan penerima bantuan dan reka bentuk dasar, termasuk rasionalisasi subsidi bahan api. Pendekatan ini selari dengan prinsip Kerajaan MADANI untuk mengurangkan ketirisan tanpa mengabaikan golongan rentan.

Dalam bidang perindustrian dan teknologi, OECD menilai Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 sebagai suatu agenda bercita-cita tinggi untuk membawa sektor pembuatan kepada aktiviti bernilai lebih tinggi, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan memperkukuh rantaian bekalan domestik.

Kerajaan juga berusaha menghubungkan pembangunan pusat data dengan strategi kecerdasan buatan, kemahiran digital, keselamatan siber dan pertumbuhan syarikat pemula. Langkah ini boleh meletakkan Malaysia sebagai hab AI serantau, di samping membuka peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan, pengurusan data, perisian dan keselamatan siber.

Aspek tatakelola juga disifatkan sebagai menunjukkan beberapa kemajuan. Undang-undang perolehan kerajaan pada 2025 mengkanunkan peraturan yang sebelumnya bergantung pada pekeliling, mewajibkan tender terbuka dan kompetitif serta memperkenalkan Tribunal Rayuan Perolehan, peraturan konflik kepentingan dan hukuman terhadap salah laku.

Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2025 pula memperluas perlindungan serta menubuhkan jawatankuasa pengawasan. Dalam memerangi pengubahan wang haram, Malaysia memperoleh 969 sabitan terhadap pemilik akaun keldai dan memulihkan lebih RM400 juta aset jenayah pada 2025.

Laporan itu turut merekodkan kemajuan dalam pembiayaan hijau. Kerangka Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab mengumpulkan RM13 bilion bagi projek sosial dan hijau sejak 2023. Kerajaan juga memuktamadkan Strategi Pembangunan Rendah Pelepasan Jangka Panjang pada Mei 2025 serta mengembangkan tenaga boleh baharu melalui solar berskala besar, skim solar bumbung dan mekanisme perdagangan tenaga.

Pada masa sama, OECD memberi beberapa cadangan, termasuk supaya usaha penambahbaikan sistem pendidikan dijadikan keutamaan dalam reformasi dasar akan datang di samping meningkatkan produktiviti melalui persaingan lebih meluas, termasuk dalam sektor perkhidmatan yang sebelum ini sering didominasi syarikat milik kerajaan.

Kesimpulannya, walaupun OECD masih menggariskan beberapa cabaran dihadapi Malaysia, namun laporan ini menunjukkan kerajaan Anwar tidak sekadar mengurus kestabilan politik. Ia malah berjaya mengekalkan pertumbuhan, menurunkan pengangguran dan inflasi, memperbaiki defisit, menarik pelaburan teknologi, memperkenalkan pembaharuan perolehan serta membina sistem bantuan lebih bersasar.

Ukuran kejayaan sebenar bukanlah ketiadaan teguran, tetapi keupayaan menerima dengan baik segala teguran dikemukakan sambil meneruskan reformasi. Dalam hal ini, laporan ekonomi oleh badan bebas berwibawa seperti OECD adalah bukti jelas Malaysia sedang bergerak pada landasan lebih kukuh, meskipun perjalanan pembaharuan diakui masih belum selesai.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Kredit : Berita Harian

Author

petaiking

Follow Me
Other Articles
Previous

Bukan Semua Cerita Berkisar Tentang Cinta, Aaron Aziz Mahu Terbitkan Naskhah Yang Memberi Makna

Next

Fauziah Nawi Puji Kejayaan Shila Amzah – ‘Alhamdulillah, Rezeki Dia Di Luar Negara, Lebih Dihargai’

Copyright 2026 — PETAI JERUK. All rights reserved. Blogsy WordPress Theme

Powered by
►
Necessary cookies enable essential site features like secure log-ins and consent preference adjustments. They do not store personal data.
None
►
Functional cookies support features like content sharing on social media, collecting feedback, and enabling third-party tools.
None
►
Analytical cookies track visitor interactions, providing insights on metrics like visitor count, bounce rate, and traffic sources.
None
►
Advertisement cookies deliver personalized ads based on your previous visits and analyze the effectiveness of ad campaigns.
None
►
Unclassified cookies are cookies that we are in the process of classifying, together with the providers of individual cookies.
None
Powered by