PRN Melaka bayangan arah baharu politik nasional
DUA hari menjelang pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tumpuan politik terarah kepada kemampuan Barisan Nasional (BN) mempertahankan penguasaan negeri dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap rekod pentadbirannya.
Pilihan raya ini bukan sekadar menentukan kerajaan negeri, sebaliknya menjadi ujian terhadap penerimaan manifesto, calon dan keberkesanan strategi kempen.
Lebih penting, keputusan Melaka berpotensi memberikan gambaran awal mengenai perubahan landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Pada PRN 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Keputusan itu memberikan BN kelebihan sebagai penyandang, selain pengalaman pentadbiran dan jaringan politik tempatan.
Bagaimanapun, kemenangan terdahulu tidak menjamin keputusan sama berulang. Pengundi hari ini menilai prestasi berdasarkan pengalaman semasa, termasuk penyelesaian masalah setempat, kos sara hidup dan keberkesanan dasar kerajaan.
Antara kekuatan utama BN dalam kempen kali ini ialah dakwaan 97 peratus manifesto PRN 2021 berjaya dilaksanakan. Angka itu digunakan untuk membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap janji terdahulu.
Namun, PH mencabar kerajaan supaya mengemukakan senarai lengkap 103 inisiatif bagi membolehkan rakyat menilai tahap pelaksanaannya.
Perbezaan pendekatan ini memperlihatkan BN mempertahankan rekod pentadbiran, manakala PH menekankan ketelusan dan akauntabiliti. Dalam demokrasi, angka pencapaian perlu disokong bukti serta hasil yang benar-benar dirasai rakyat.
Manifesto bukan sekadar dokumen pilihan raya, tetapi komitmen politik perlu dinilai berdasarkan pelaksanaan. Justeru, dakwaan pencapaian 97 peratus hanya menjadi kekuatan BN sekiranya pengundi mengiktirafnya sebagai kejayaan memberi manfaat kepada kehidupan mereka.
Persaingan mendapatkan sokongan pengundi muda turut menjadi perhatian. Parti bertanding giat menggunakan media sosial, program komuniti dan pendekatan santai untuk mendekati golongan berkenaan.
Namun, perhatian digital tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan politik. Pengundi muda turut menilai isu pekerjaan, kos sara hidup, pemilikan rumah, pendidikan dan peluang mobiliti sosial.
BN membawa naratif kesinambungan pembangunan berdasarkan pengalaman pentadbiran, manakala PH mengetengahkan aspirasi Melaka Rumah Kita yang memberi penekanan kepada perumahan, kesejahteraan rakyat dan pentadbiran.
Dalam konteks ini, parti mampu menawarkan penyelesaian praktikal terhadap keperluan generasi muda mempunyai peluang lebih baik untuk membina kepercayaan jangka panjang.
Media sosial pula berperanan membentuk persepsi, tetapi jumlah tontonan, komen dan perkongsian bukan ukuran mutlak kekuatan seseorang calon. Pengalaman rakyat, perbualan komuniti dan penilaian terhadap prestasi kerajaan turut mempengaruhi keputusan pengundi.
Uji hubungan BN-PH
PRN Melaka juga menguji hubungan BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan. Kerjasama di peringkat Persekutuan tidak semestinya menjamin keseragaman sokongan di peringkat negeri kerana setiap parti mempunyai identiti, kepentingan organisasi dan penyokong tersendiri.
Pada masa sama, isu nasional berkaitan ekonomi, kos sara hidup, integriti dan kepercayaan terhadap institusi boleh mempengaruhi penilaian pengundi.
Perkembangan berkaitan isu perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak misalnya, memperlihatkan bagaimana isu perundangan dan politik nasional terus menjadi perhatian masyarakat.
Bagaimanapun, keutamaan pengundi tidak seragam. Ada yang lebih menitikberatkan isu nasional, manakala sebahagian lain memberi perhatian kepada prestasi wakil rakyat, kemudahan setempat dan penyelesaian masalah harian.
Berdasarkan keputusan PRN 2021, kedudukan sebagai penyandang dan kekuatan organisasi, BN dilihat mempunyai kelebihan struktur untuk mempertahankan kerajaan negeri.
Namun, PH berpeluang meningkatkan sokongan sekiranya berjaya meyakinkan pengundi melalui isu akauntabiliti dan prestasi pentadbiran.
PN pula berpotensi mempengaruhi persaingan di kerusi tertentu dengan menawarkan alternatif kepada pengundi ketika gabungan itu bekerjasama dengan BN.
Tiga kemungkinan boleh diperhatikan.
l Pertama, BN mengekalkan penguasaan dengan majoriti selesa, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap rekod pentadbirannya.
l Kedua, BN kekal membentuk kerajaan tetapi kehilangan sebahagian kerusi. Keputusan itu boleh menjadi isyarat pengundi masih menerima BN, namun mahukan penambahbaikan dari segi prestasi dan pendekatan politik.
l Ketiga, berlaku perubahan ketara dalam komposisi kerusi menunjukkan peralihan sokongan politik lebih besar di Melaka.
Walau apa pun keputusan, analisis tidak seharusnya tertumpu kepada jumlah kerusi semata-mata. Margin kemenangan, prestasi calon dan perubahan sokongan mengikut kawasan juga penting untuk memahami kehendak pengundi.
Keputusan PRN Melaka mempunyai nilai strategik kepada semua parti, khususnya dalam menilai kemampuan mempertahankan penyokong tradisional, menarik pengundi muda dan membina kepercayaan masyarakat.
Kemenangan besar BN akan mengukuhkan keyakinan terhadap strategi sedia ada. Sebaliknya, pengurangan majoriti atau perubahan ketara kerusi perlu dijadikan isyarat untuk menilai semula penerimaan rakyat terhadap pentadbiran dan hala tuju politik parti.
Bagaimanapun, keputusan pilihan raya negeri tidak boleh dianggap gambaran tepat PRU16 kerana membabitkan pelbagai isu nasional.
Akhirnya, PRN Melaka bukan sekadar pertandingan mendapatkan kerusi, tetapi ukuran terhadap kepercayaan rakyat. BN mempunyai kelebihan sebagai penyandang, PH menawarkan alternatif, manakala PN berusaha mengukuhkan kedudukan sebagai pilihan politik.
Pada 14 November nanti, keputusan Melaka bukan sahaja menentukan parti mana membentuk kerajaan negeri, malah menjadi petunjuk penting bagaimana rakyat menilai prestasi, kepemimpinan dan masa depan politik negara.
Penulis adalah Penganalisis politik
Kredit : Berita Harian