Shila Amzah membesar bersama ABPBH
KUALA LUMPUR: Daripada seorang calon artis kanak-kanak berusia 10 tahun kepada penyanyi yang kembali menembusi kelompok Top 10 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), perjalanan seni Shila Amzah membuktikan namanya masih mempunyai tempat dalam industri hiburan tanah air.
Selepas lebih dua dekad mewarnai pentas anugerah berprestij itu, Shila sekali lagi mencuri perhatian apabila berjaya melangkah ke senarai Top 10 kategori Penyanyi Wanita Popular bagi ABPBH ke-38.
Mula dicalonkan menerusi kategori Artis Kanak-Kanak Popular pada ABPBH edisi ke-14, kira-kira 26 tahun lalu, rezeki bagaimanapun belum berpihak kepadanya apabila kemenangan menjadi milik kumpulan Kristal.
Shila terus tersenarai sebagai calon bagi beberapa edisi berikutnya sebelum meraih kemenangan pertama pada ABPBH 25 (2011) menerusi kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular hasil penglibatannya dalam projek album 3 Suara bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor.
Kejayaan itu disusuli kemenangan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular pada ABPBH 26 (2012), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi wanita yang mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.
Selepas beberapa tahun menyepi daripada persaingan, Shila kembali dicalonkan pada ABPBH 35, tiga tahun lalu, menerusi kategori sama. Bagaimanapun, namanya tidak berjaya mara ke peringkat Top 5 yang menyaksikan Aina Abdul membawa pulang kemenangan.
Bagi edisi ke-38 kali ini, penyanyi yang turut mengembangkan kerjaya seni di China itu sekali lagi membuktikan daya tarikannya apabila berjaya menembusi kelompok Top 10 kategori Penyanyi Wanita Popular.
Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata penyertaannya dalam acara anugerah berkenaan bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, sebaliknya menjadi ruang untuk menunjukkan sokongan terhadap perkembangan industri hiburan tanah air.
Katanya, dia turut menghargai usaha peminat yang masih setia memberikan sokongan meskipun kaedah undian kini berubah daripada penggunaan keratan akhbar kepada platform digital.
“Saya lebih melihat penyertaan ini sebagai peluang untuk memberikan sokongan kepada industri. Soal undian atau apa sahaja, semuanya bergantung kepada peminat dan usaha mereka meluangkan masa untuk memberikan sokongan.
“Saya melalui zaman orang membeli surat khabar, memotong dan mengumpulkan keratan untuk undian. Daripada zaman itu hinggalah sekarang yang menggunakan undian digital, sudah tentu perasaannya berbeza.
“Namun, apa yang sangat saya hargai ialah semangat kebersamaan dalam kalangan peminat. Saya rasa ini mungkin antara momen yang mendorong mereka berkumpul dan mengadakan pertemuan semula,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman calon Top 10 ABPBH 38 di Ombak KlCC, di sini, baru-baru ini.
Mengulas persaingan edisi kali ini, Shila menyifatkan setiap pencalonan diterima artis sebagai satu bentuk penghargaan, manakala keputusan akhir tetap bergantung kepada rezeki masing-masing.
“Bagi saya, persaingan sangat sihat. Setiap seorang daripada kami sudah mempunyai kedudukan masing-masing dalam industri. Jadi, siapa yang menang atau berjaya melangkah ke Top 5, semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing.
“Pada akhirnya, saya bersyukur kerana nama saya kembali tersenarai. Dalam masa sama, saya berharap kehadiran saya ini dapat menjadi salah satu sebab hubungan dengan peminat semakin erat,” katanya.
Dalam pada itu, Shila berkata hubungan akrab dengan kelompok peminat yang sudah lama menyokong perjalanan seninya menjadi antara perkara paling dihargai.
Katanya, hubungan yang terjalin sejak sekian lama membolehkan mereka saling mengenali dengan lebih dekat, sekali gus menjadikan interaksi antara dirinya dan peminat lebih bersifat persahabatan.
“Untuk menjaga hubungan baik dengan peminat, sejak dahulu lagi saya memang mempunyai kelompok peminat tersendiri dan mengenali mereka secara peribadi. Mereka adalah individu yang sudah lama memberikan sokongan kepada saya.
“Dari segi menjaga hubungan itu, saya hanya menjadi diri sendiri. Peminat memang sudah mengenali saya luar dan dalam. Mereka tahu apa yang saya suka dan tidak suka.
“Jadi, hubungan kami sudah terasa seperti kawan-kawan kerana sudah terlalu lama saling mengenali,” katanya.
Berkongsi perkembangan kerjaya, Shila berkata dia kini memberikan tumpuan kepada penghasilan album berbahasa Mandarin selepas melancarkan album SA25, tahun lalu.
Katanya, dia turut merancang melancarkan single Mandarin terbaharu sekitar Disember ini, selain bakal mengadakan konsert berskala besar di China pada awal tahun depan.
“Memandangkan saya sudah melancarkan album tahun lalu, untuk tahun hadapan kami sedang memberikan tumpuan kepada penghasilan album Mandarin.
“Insya-Allah, saya juga akan melancarkan single Mandarin terbaharu sekitar Disember ini. Selain itu, saya turut merancang mengadakan konsert di China pada awal tahun depan,” katanya.
Menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular, Shila bakal berdepan saingan sembilan penyanyi lain iaitu Adira, Aina Abdul, Aisha Retno, Ernie Zakri, Mimifly, Nadeera, Noraniza Idris, Wani Kayrie dan Wany Hasrita.
Kredit : Berita Harian