Jangan mudah percaya suplemen buat ‘anak bijak’
KETIKA negara bimbang mengenai malnutrisi dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini, satu trend lain dilihat sedang berkembang secara progresif iaitu penjualan suplemen kognitif yang dipasarkan bertujuan menjadikan anak lebih bijak, fokus dan cerdas.
Produk sebegini bukan lagi asing, malah ia mudah didapati di farmasi, pasar raya dan platform dalam talian, lengkap dengan testimoni dan iklan yang menyasarkan ibu bapa.
Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hanis Hidayu Kasim, berkata pelbagai persoalan muncul memandangkan tiada satu pun keberkesanan produk berkenaan mempunyai pengukuran yang jelas dan saintifik.
Katanya, kajian global menunjukkan, pada awal kehidupan seseorang manusia iaitu dari peringkat neonatal hingga tahun-tahun awal kanak-kanak, ia adalah fasa kritikal iaitu pemakanan dan persekitaran memprogramkan fungsi sistem badan.
“Corak pemakanan, pendedahan kepada persekitaran pada usia sebegini bukan saja mempengaruhi pertumbuhan, tetapi kesilapan dalam menjaga hal dikaitkan dengan risiko obesiti, diabetes, penyakit jantung dan masalah kesihatan mental apabila dewasa.
“Ini bermakna, setiap bahan yang ditambah ke dalam pemakanan kanak-kanak, termasuklah suplemen harian, tidak boleh dilihat ringan.
“Ini kerana majoriti suplemen kognitif kanak-kanak di pasaran berasaskan asid lemak omega-3 seperti DHA (docosahexaenoic acid) dan EPA (eicosapentaenoic acid) yang memainkan peranan dalam perkembangan otak, sistem saraf dan mata memang jelas.
“Kandungan DHA dalam susu ibu dan formula bayi sekian lama dikaji dan menjadi satu bukti biologi ia penting untuk pertumbuhan,” katanya.
Tambah beban pemprosesan
Jelasnya lagi, disebabkan itu pengambilan ikan berlemak satu hingga dua kali seminggu disarankan dalam garis panduan pemakanan seluruh dunia, namun jika tiada masalah akses kepada ikan atau sumber omega-3 lain, keperluan tambahan DHA atau EPA biasanya tidak diperlukan.
“Kajian intervensi ke atas kanak-kanak sihat menunjukkan, penambahan omega-3 pada dos melebihi keperluan adalah tidak konsisten dalam meningkatkan kecerdasan (IQ) atau prestasi akademik.
“Dari sudut biologi, semua nutrien yang diambil perlu diproses dan akan dibuang jika berlebihan dan tidak digunakan.
“Dalam keadaan sebegini, suplemen berlebihan bukan saja tidak memberi faedah tambahan, tetapi menambah beban pemprosesan kepada sistem badan seperti hati dan buah pinggang, malah juga menambah beban kewangan kepada keluarga,” katanya.
Pada masa sama, Dr Hanis Hidayu berkata, selain omega-3, badan juga memerlukan omega-6 untuk fungsi normal di mana keseimbangan antara kedua-dua kumpulan omega ini adalah sangat kritikal.
“Ketidakseimbangan dua-duanya dalam jangka masa panjang dikaitkan dalam banyak kajian dengan peningkatan keradangan, obesiti, rintangan insulin dan risiko penyakit metabolik.
“Pengambilan DHA melebihi keperluan boleh mengganggu nisbah keseluruhan omega, secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan bahawa formula suplemen tertentu mungkin mengubah keseimbangan ini terutamanya jika diambil secara berterusan oleh kanak-kanak,” katanya.
Jelasnya, dalam penyelidikannya di University of Cambridge, kajian dijalankan terhadap bayi pramatang dan bayi cukup bulan sepanjang tahun pertama kehidupan mereka menemui ratusan molekul lipid serta indeks enzim desaturase utama (FADS1, FADS2, SCD1) yang menukarkan lemak dalam susu dan makanan kepada DHA, EPA dan asid lemak lain.
“Antara dapatan penting adalah aktiviti enzim dan kepekatan lemak berubah mengikut umur, sekali gus menunjukkan bahawa keperluan dan pemprosesan DHA atau EPA berbeza mengikut fasa perkembangan.
“Malah, kanak-kanak pramatang juga mempunyai pola enzim dan lipid yang berbeza daripada mereka yang cukup bulan. Ini bermakna, dos suplemen yang sama untuk semua kanak-kanak pada umur yang sama tidak semestinya sesuai.
“Pendekatan ‘one dose fits all’ yang biasa digunakan dalam produk komersial tidak sejajar dengan kefahaman terkini mengenai biologi kanak-kanak,” katanya.
Tegasnya, sebahagian suplemen minda menggunakan fosfolipid seperti phosphatidylserine dan choline serta herba seperti Ginkgo biloba dan Moringa.
“Walaupun bahan-bahan ini mempunyai peranan biologi dan data awal yang menarik dalam konteks dewasa (contohnya memori atau penyakit neurodegeneratif), kajian berkualiti ke atas kanak-kanak sihat masih sangat terhad.
“Ini bukti, pemberian kombinasi fosfolipid dan herba ini kepada kanak-kanak setiap hari tanpa indikasi khusus dan tanpa pemantauan rapi pada asasnya menyerupai satu eksperimen.
“Dari perspektif etika penyelidikan dan kesihatan awam, ini wajar dipersoalkan. Banyak suplemen kanak-kanak diformulakan sebagai sirap atau ‘gummy’ dengan gula tambahan untuk menambahbaik rasa suplemen itu,” katanya.
Perlu diperkasa dengan maklumat
Bagaimanapun, terdapat juga situasi di mana suplemen mungkin mempunyai peranan, contohnya kanak-kanak dalam komuniti pedalaman atau keluarga yang mempunyai akses sangat terhad kepada sumber makanan berkhasiat, termasuk ikan.
“Kedua, kanak-kanak dengan keadaan perubatan tertentu atau alahan makanan yang mengehadkan pengambilan nutrien, di mana pakar pediatrik atau pakar nutrisi menasihatkan suplemen khusus dengan dos dan tempoh yang jelas.
“Namun bagi majoriti kanak-kanak yang sihat, memberi suplemen ‘anak bijak’ secara rutin tanpa penilaian klinikal dan tanpa kejelasan bukti adalah tidak wajar.
“Ibu bapa perlu diperkasakan dengan maklumat yang jelas adakah ia wajar diberikan dan risiko jangka panjang yang mungkin timbul jika diambil tanpa panduan.
“Pada masa sama, pengalaman dan pandangan setiap ibu bapa adalah dihormati, namun perlu diingatkan bahawa tidak semua perubahan itu adalah kesan suplemen kerana yang faktor berkesan ialah tidur yang cukup, rutin belajar teratur, pengurangan gajet dan hubungan emosi yang baik,” katanya.
INFO:
Apa yang ibu bapa perlu tahu?
– Tiada bukti kukuh bahawa suplemen kognitif mampu meningkatkan IQ atau prestasi akademik kanak-kanak yang sihat.
– Omega-3 seperti DHA dan EPA penting untuk perkembangan otak, tetapi kebanyakan kanak-kanak yang mengamalkan diet seimbang tidak memerlukan suplemen tambahan.
– Pengambilan berlebihan bukan sahaja tidak memberi manfaat tambahan, malah boleh mengganggu keseimbangan nutrien serta membebankan hati dan buah pinggang.
– Tiada dos yang sesuai untuk semua. Keperluan nutrien berbeza mengikut umur, tahap perkembangan dan keadaan kesihatan setiap kanak-kanak.
– Suplemen hanya disaran jika terdapat kekurangan nutrisi atau keadaan kesihatan tertentu, atas nasihat doktor atau pakar pemakanan.
– Perkembangan otak anak lebih dipengaruhi oleh pemakanan seimbang, tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal, rutin pembelajaran dan hubungan emosi yang baik.
FAKTA RINGKAS
Bila suplemen mungkin diperlukan?
– Kanak-kanak yang mengalami kekurangan nutrisi.
– Mempunyai alahan atau penyakit yang mengehadkan pengambilan makanan tertentu.
– Tinggal di kawasan dengan akses terhad kepada makanan berkhasiat.
– Atas nasihat pakar pediatrik atau pakar pemakanan.
Kredit : Berita Harian