Saya harap suatu hari nanti, orang boleh terima dan sayangi diri ini – Ruhainies
KUALA LUMPUR: Terpalit kontroversi membabitkan pelakon dan penyanyi asal Singapura, Aliff Aziz, beberapa tahun lalu, Ruhainies tidak menafikan dirinya diburu rasa ralat.
Ruhainies tidak menolak reputasi terjejas akibat apa yang didakwa sebagai penganiayaan terhadap dirinya, rentetan kontroversi itu.
Akuinya, selama ini dia bersusah payah membina dan menjaga nama baik, namun, hanya disebabkan perkara yang mengaibkan, kerjayanya turut menerima tempias.
“Bukan mudah sebenarnya hendak berdepan kecaman. Memang saya ralat dan kecewa kerana bersusah payah membina nama sebelum berlakunya ujian itu.
“Saya elak daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan nama dan reputasi. Orang pun tahu bagaimana saya dalam industri seni selama ini, tetapi kerana satu perkara yang diaibkan dan dianiaya, terus jadi seperti ini.
“Bagaimanapun, saya percaya pasti ada hikmah di sebalik semua ini dan Allah uji kerana Dia sayang.
“Saya tidak mampu puaskan hati semua orang, tetapi saya harap, suatu hari nanti, masyarakat boleh terima dan sayangi saya semula,” katanya ketika ditemui pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di sini, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Ruhainies menjelaskan menjelaskan dia tidak pernah menurunkan kadar bayaran lakonan semata-mata mahu mendapatkan peluang muncul di stesen televisyen (TV) arus perdana.
Menurut Ruhainies, kadar bayaran seseorang pelakon lazimnya diketahui pihak produksi berdasarkan pengalaman dan kedudukannya dalam industri seni.
“Kadar upah lakonan bukan artis yang tentukan. Apabila sudah berada dalam industri seni, produksi sendiri tahu berapa kadar seseorang pelakon. Setakat ini, tidak pernah pula ada yang minta saya turunkan harga kerana mereka sudah tahu berapa kadar upah saya.
“Apabila produksi tawarkan kerja kepada saya, bermakna mereka sudah sedia dengan kadar yang ditetapkan. Setakat ini, kadar upah lakonan saya sama sahaja dari dulu hingga sekarang,” katanya.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut menafikan tawaran lakonan semakin berkurangan disebabkan kontroversi membabitkan dirinya Aliff.
Sebaliknya, wanita berusia 33 tahun itu berkata, dia masih menerima tawaran lakonan, namun mengakui tidak lagi serancak dahulu berikutan kemunculan ramai bakat baharu yang lebih muda.
Namun, pelakon drama Wifi Sebelah Rumah itu tidak menganggap kehadiran pelapis baharu sebagai sesuatu yang mencabar kedudukannya dalam industri seni.
“Sebaik memasuki industri seni, saya sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Saya boleh jangka kita tidak akan berada di atas selama-lamanya.
“Saya sudah 11 tahun dalam industri seni, jadi mungkin tiba masanya untuk memberi peluang kepada bakat baharu yang lebih muda dan cantik.
“Tawaran semakin berkurangan itu normal. Dahulu, ketika usia seperti mereka, saya sudah pulun habis-habisan. Balik jam 5 pagi, kemudian masuk ke set semula, buat iklan dan macam-macam lagi sampai tidak cukup tidur.
“Pada usia sekarang, saya cuma mahu hidup tenang dan santai. Tidak mahu lagi terkejar-kejar seperti dahulu.
“Saya tidak mahu sibuk mengumpul duit sampai tidak dapat menikmati hidup hasil titik peluh sendiri. Hidup cuma sekali dan pada fasa ini, saya mahu banyakkan menjelajah,” katanya.
Pada 9 Mac 2024, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon, Ruhainies atau nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, dilapor ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium di ibu negara.
Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan sekitar jam 2 petang pada hari sama dan didakwa di bawah Seksyen 27 (a) dan 27 (b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) atas kesalahan berkhalwat.
Pada 21 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan menjatuhkan denda RM3,000 setiap seorang selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Kredit : Berita Harian