Christy Ng Buat Kemunculan Kameo Dalam Kudrat 1968: High Council, Netizen Puji Lakonan Bersahaja
Selepas kejayaan siri Projek: High Council pada 2023, dunia High Council terus mencuri perhatian penonton tempatan, khususnya dalam kalangan anak muda.
Siri yang berlatarbelakangkan Kolej Ungku Deramat (KUDRAT) itu kini diperluaskan menerusi Kudrat 1968: High Council, sebuah kisah prekuel kepada Projek: High Council.
Kudrat 1968 Tampilkan Barisan Pelakon Muda
Kudrat 1968 menampilkan beberapa bakat muda termasuk Mierul Aiman yang kembali membawakan watak Kuda.
Turut membintangi siri berkenaan ialah Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Akmal Asyraf dan Chech Harith.
Bagaimanapun, satu kemunculan istimewa dalam episod kedua berjaya menarik perhatian penonton apabila usahawan serta pempengaruh tempatan, Christy Ng tampil sebagai watak kameo.
Christy Ng Muncul Dalam Episod Kedua
Dalam salah satu babak sekitar minit ke-29 episod kedua, Christy dilihat membuat kemunculan selama beberapa saat.
Dia dipercayai membawa watak sebagai pembantu peribadi kepada pengetua sekolah berkenaan.

Walaupun tampil dalam tempoh singkat, lakonan Christy yang bersahaja serta penggunaan bahasa Inggeris yang lancar menerima perhatian daripada penonton.
Di media sosial, segelintir netizen turut memuji kemunculannya dan menyifatkan babak tersebut sebagai antara momen menarik dalam episod berkenaan.
Kolaborasi Christy Ng Bersama Kudrat 1968
Kemunculan Christy dalam siri tersebut bagaimanapun bukanlah sesuatu yang terlalu mengejutkan buat peminat yang mengikuti perkembangan Kudrat 1968 sejak awal.
Ini kerana jenama Christy Ng merupakan antara penaja komersial dan gaya hidup bagi siri berkenaan.
Malah, Christy Ng turut menjalinkan kolaborasi bersama High Council menerusi koleksi edisi terhad yang menampilkan beberapa rekaan beg dan stokin khas KUDRAT.
Antara produk yang diperkenalkan termasuk beg dengan emblem KUDRAT yang membawa elemen gaya hidup daripada dunia High Council ke dunia sebenar.
Christy sebelum ini juga pernah berkongsi bahawa dia bersama beberapa pekerjanya yang dikenali sebagai ‘The Bengap Brothers’ bakal membuat penampilan istimewa dalam Kudrat 1968.
Kredit : Beautifulnara