Hari bahagia makin dekat, Syed Saddiq, Bella Astillah adakan sidang media, Isnin ini
1 min read

Hari bahagia makin dekat, Syed Saddiq, Bella Astillah adakan sidang media, Isnin ini

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunang, Bella Astillah yang bakal disatukan pada 10 Oktober ini, dijangka berkongsi butiran majlis nikah dan resepsi perkahwinan pada sidang media di sini, Isnin ini.

Hari ini, organisasi media mula menerima undangan dinamakan Sidang Media Walimatul Urus Bella Astillah & Syed Saddiq yang akan diadakan di sebuah pusat acara di sini, pada jam 2 petang, Isnin ini.

Sebelum ini, Syed Saddiq, 34, dan Bella, 32, mengumumkan bakal bernikah di aras 118, Menara Merdeka Maybank di sini, pada 10 Oktober ini. Majlis resepsi dilapor turut dirancang di sini, Muar, Johor dan Sabah bagi meraikan pasangan itu.

Konsep serba putih dengan elemen Arab atau Islamik dilapor menjadi pilihan bagi majlis akad nikah atas permintaan keluarga.

Perkahwinan itu bakal menyatukan Syed Saddiq dan Bella selepas mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu, pada majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan teman rapat.

Menjelang hari bahagia, persiapan Bella dan Syed Saddiq dilapor semakin rancak apabila pasangan itu mula mengedarkan kad undangan kepada tetamu termasuk golongan pemimpin negara dan kenamaan.

Sebelum ini, Bella dan Syed Saddiq dilapor meluangkan masa hampir dua jam bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di mana antara lain mereka mendapatkan pandangan dan nasihat berkaitan alam rumah tangga.

Syed Saddiq turut menyerahkan kad undangan kepada beberapa tokoh termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dalam perkembangan sama, Bella dan Syed Saddiq juga dilapor berkongsi gambaran persiapan perkahwinan menerusi media sosial apabila tampil sedondon mengenakan busana tradisional Melayu berwarna putih dalam sesi fotografi.

Perkongsian itu dibuat ketika tarikh pernikahan mereka semakin hampir, sekali gus memperlihatkan persiapan pasangan berkenaan kini memasuki fasa lebih rancak.

Kredit : Berita Harian