Saya dah habis kata-kata – Abby Abadi akui hubungan dengan anak dingin
2 mins read

Saya dah habis kata-kata – Abby Abadi akui hubungan dengan anak dingin

AMPANG: “Saya dah habis kata-kata.”

Demikian luahan penyanyi dan pelakon, Abby Abadi yang mengakui hubungannya dengan tiga anak hasil perkongsian hidup bersama bekas suami, Norman Hakim, dingin sejak beberapa ketika.

Abby, 48, berkata, ketiga-tiga anaknya kini sudah mempunyai kehidupan sendiri dan menginap secara berasingan.

Lebih mengejutkan, Abby mengakui tidak lagi mengharapkan anak-anaknya datang menjenguk atau menjaganya apabila dia semakin berusia.

“Saya dah habis kata-kata sebenarnya. Saya tak harap pun mereka datang. Kalau mereka datang pun, saya rasa macam nak lari. Itu yang saya rasa sekarang.

“Saya pun tak mengharap anak-anak untuk jaga saya. Saya rasa semua ibu bapa pun kena letak dalam diri, kalau kita jaga anak-anak jangan harap anak bagi balik apa yang kita bagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Elegant Selamanya di sini, petang tadi.

Ditanya mengenai punca hubungan dengan anak-anak menjadi dingin, Abby mengakui dia pernah menegur mereka mengenai beberapa perkara yang tidak dipersetujuinya.

Katanya, mungkin kesilapannya selama ini adalah kerana tidak cukup tegas dalam mendidik anak-anak.

Abby berkata, keadaan menjadi lebih sukar apabila anak-anak mempunyai pilihan untuk mendapatkan sokongan daripada dua pihak, termasuk bapanya.

“Adalah beberapa benda yang saya tak sokong dan saya marah.

“Tapi antara kesilapan saya, sebab mereka ada dua saluran. Bila saya tegur, mereka akan pergi kepada bapa mereka.

“Jadi, bila dah besar, mereka boleh buat sesuka hati. Saya tak boleh nak marah, mereka ada kaki dan boleh gerak sendiri,” katanya.

Abby berkata, situasi berkenaan sebenarnya sudah lama berlaku dan bukan sesuatu yang baru, cuma dia memilih untuk tidak berkongsi kepada umum sebelum ini.

Katanya, dia hanya meluahkan perasaan menerusi media sosial baru-baru ini selepas sekian lama memendam apa yang dirasainya.

“Daripada dulu pun sebenarnya, saya rasa kurang senang apabila saya marah mereka, dia terus telefon papanya. Papanya pula kadang-kadang tidak bertanya kepada saya terlebih dahulu, sebaliknya terus datang ambil anak itu macam itu saja.

“Pada saya, itu satu kesilapan kerana kita tidak dapat membentuk disiplin anak dengan cara begitu. Saya rasa perkara itu boleh dijadikan pengajaran kepada ibu bapa lain di luar sana.

“Untuk mendisiplinkan anak, kita perlu tegas sedikit. Bukan bermaksud menggunakan kekerasan atau melakukan apa-apa yang boleh menyakiti mereka, tetapi perlu ada ketegasan dan batas yang jelas,” katanya.

Kemelut keluarga Abby dan Norman kembali menjadi perhatian apabila aktres itu baru-baru ini menitipkan ucapan selamat ulang tahun yang disifatkan ‘menghiris hati’ buat anaknya, Maria Danisha Hakim yang menyambut ulang tahun ke-18.

Menerusi perkongsian itu, Abby meluahkan perasaan mengenai pengorbanan yang dilakukannya dalam membesarkan anak-anak, yang dirasakan seakan-akan dilupakan.

Kredit : Berita Harian