Belanjawan 2027 perkasa poket rakyat, perkukuh fiskal negara
5 mins read

Belanjawan 2027 perkasa poket rakyat, perkukuh fiskal negara

Bertunjangkan lapan lunas utama, Belanjawan 2027 adalah satu dokumen yang transformatif untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah ekonomi terunggul di Asia dan pada masa sama memperkukuh poket rakyat.

Ini dilakukan dalam suasana sukar, ketika konflik di Asia Barat masih berterusan dan peningkatan kos sara hidup membelenggu rakyat teramai.

Keseluruhan peruntukan RM510 bilion bagi tahun fiskal 2027 jelas menunjukkan iltizam jitu kerajaan untuk mengurus beban kos sara hidup rakyat yang kebanyakannya berpunca daripada faktor luar.

Pada masa sama cuba memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif dengan pengurusan fiskal berhemah.

Pelbagai strategi berbentuk bersasar dan sejagat diperkenalkan dalam usaha meningkatkan kuasa beli rakyat, terutama golongan pertengahan (M40) dan juga generasi muda.

Namun, peningkatan dalam gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan antara paling signifikan.

Bagi mengelakkan golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada terbeban, PMKS yang hasil jualan di bawah RM50 juta setahun dikecualikan daripada peningkatan gaji minimum ini.

Antara masalah dikenal pasti sebelum ini berkaitan pelaksanaan gaji minimum adalah kenaikan gaji lantai ini tidak mengakibatkan penolakan gaji pendapatan pertengahan.

Dengan erti kata lain, tidak berlaku peningkatan tahap pertumbuhan gaji secara menyeluruh dan mengakibatkan pekerja gaji pertengahan tidak mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum.

Graduan juga terlepas daripada faedah pengenalan dan kenaikan gaji minimum sebelum ini dan akibatnya, isu guna tenaga tidak penuh dalam kalangan graduan semakin membimbangkan.

Mengikut statistik Jabatan Perangkaan, sekitar 1.6 juta atau 32 peratus graduan bekerja di bawah tahap kelayakan mereka.

Justeru, pada belanjawan kali ini, kerajaan menetapkan gaji permulaan RM2,500 sebulan sebagai permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan juga graduan.

Agenda meningkatkan pendapatan rakyat diteruskan dengan komitmen daripada Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan juga Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan penanda aras gaji kehidupan wajar dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.

Ini penting dalam usaha memastikan kadar pertumbuhan gaji dan upah di negara kita dapat ditingkatkan secara terurus dan segera.

Agenda berbentuk jangka sederhana untuk menaikkan pendapatan rakyat dengan meningkatkan kemahiran mereka juga ditekankan dalam belanjawan kali ini, dengan pelaksanaan program latihan BAKAT MADANI, membabitkan enam GLIC, PETRONAS dan juga GLC.

Selain itu, sebanyak RM8 bilion diperuntukkan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berbentuk rentas kementerian.

Tidak dinafikan, apabila perubahan bersifat komprehensif ini dilakukan, pelbagai isu akan timbul. Ini lumrah dan sepatutnya memang dijangka.

Antaranya, kenaikan gaji minimum itu dijangka mewujudkan pasaran tenaga kerja dua tingkat, mengakibatkan impak terhadap mobiliti kerja.

Begitu juga dengan jangkaan penetapan dalam gaji permulaan graduan akan mengakibatkan majikan cenderung memilih pekerja sudah ada pengalaman bekerja.

Perbincangan terbuka tiga pihak utama

Di sinilah perlunya perbincangan terbuka antara tiga pihak utama, iaitu kerajaan, majikan dan pekerja untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar.

Selain itu, isu lebih struktural dalam meningkatkan pendapatan rakyat, seperti menaikkan produktiviti pekerja, meningkatkan penciptaan pekerjaan baharu berpendapatan tinggi, mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah dan reformasi pendidikan negara juga disentuh dalam belanjawan ini.

Namun, ia terhad kerana belanjawan ini perancangan jangka pendek ekonomi negara, iaitu dalam setahun. Hakikatnya, kita dapat lihat isu struktural ini ditangani dalam dokumen perancangan ekonomi dan pembangunan lebih menyeluruh dan berbentuk jangka sederhana dan panjang, seperti Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (SSN), dan juga Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Ikhtiar berbeza memberikan kesan secara langsung, segera dan berimpak dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, terutama golongan M40 adalah pelbagai dalam belanjawan kali ini.

Namun, antara yang signifikan adalah berkaitan dengan kenaikan pelepasan cukai, pengurangan kadar cukai dan pengecualian cukai.

Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion, dengan semua penerima STR menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, yang mana ini membabitkan sembilan juta penerima.

Akan tetapi, apa yang sangat menarik bagi saya adalah pemberian tunai secara langsung ini bukan sahaja berbentuk bersasar, namun ia juga diperkenalkan dalam bentuk sejagat.

Walaupun ada beberapa pihak tidak bersetuju dengan pendekatan ini, saya melihat ini satu daripada idea (SARA untuk SEMUA) transformatif di bawah kerangka ekonomi MADANI yang bermula pada 23 Julai 2025, diteruskan dalam Belanjawan 2026 dan pada kali ini, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali.

Ini semua dilakukan dengan disiplin fiskal yang kukuh dengan sasaran pengurangan fiskal defisit 3.0 peratus pada 2028 masih berada pada landasan tepat.

Bertema ‘Menggapai di langit, mengakar di bumi’, jelas Belanjawan MADANI kelima ini bukan sahaja menumpukan kepada usaha mereformasi ekonomi menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, tetapi seluruh rakyatnya, tanpa ada ketinggalan, juga menjadi bangsa maju dan mempunyai pekerjaan berpendapatan tinggi.

Penulis adalah Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi Dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia

Kredit : Berita Harian