Di sebalik serangan, fitnah kenapa Anwar tetap jadi pilihan rakyat?

SETIAP pertengahan tahun, Merdeka Centre akan menjalankan tinjauan pendapat awam komprehensif bagi menilai hala tuju negara, prestasi Kerajaan Perpaduan, tahap keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan negara serta pelbagai isu ekonomi, sosial dan politik yang menjadi perhatian.

Hasil kajian itu sentiasa menjadi tumpuan kerana memberikan gambaran sentimen semasa rakyat. Namun, dapatannya tidak seharusnya dilihat secara sempit atau dinilai berdasarkan kadar populariti pemimpin semata-mata.

Ia perlu dibaca secara menyeluruh sebagai cerminan persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan, keberkesanan dasar, agenda reformasi, cabaran semasa serta harapan mereka terhadap masa depan negara.

Awal tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa dasar dan inisiatif penting yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat. ia bukan sahaja meningkatkan keyakinan terhadap prestasi kerajaan, malah mengukuhkan sokongan rakyat terhadap agenda reformasi institusi.

Keberanian kerajaan membawa reformasi ini wajar diiktiraf. Bukan mudah bagi seorang Perdana Menteri mencadangkan undang-undang mengehadkan tempoh jawatannya.

Namun, Anwar memilih untuk memimpin melalui teladan apabila menegaskan had tempoh jawatan itu mesti bermula dengan dirinya. Pendekatan ini memperlihat komitmen politik jelas terhadap prinsip reformasi dan tadbir urus baik.

Walaupun Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, ia belum berakhir.

Kini, tanggungjawab berada di bahu semua ahli Parlimen untuk menentukan sama ada reformasi bersejarah ini akan menjadi kenyataan. Cadangan ini lahir daripada pengalaman pahit negara berdepan pemerintahan terlalu lama serta keinginan rakyat untuk menamatkan budaya korupsi, kolusi dan nepotisme.

Sokongan tinggi ditunjukkan melalui kajian ini membuktikan rakyat semakin bersedia menerima pembaharuan institusi demi masa depan Malaysia yang lebih demokratik, telus dan berintegriti.

Kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap Anwar kekal kukuh kerana mereka semakin menilai berdasarkan keberanian melaksanakan reformasi, kestabilan pentadbiran dan hala tuju negara, bukannya retorik politik yang sarat dengan fitnah dan sentimen.

Tinjauan antara 12 Mac hingga 9 April 2026 membabitkan 1,209 responden di seluruh negara memperlihatkan Anwar terus muncul sebagai pemimpin politik paling mendapat kepercayaan rakyat dengan kadar kelulusan 52 peratus, sekali gus mengatasi semua tokoh kerajaan dan pembangkang.

Sokongan kepada PH terus mengukuh

Berdasarkan analisis pascapilihan raya beberapa badan penyelidikan, sekitar 94 hingga 95 peratus pengundi Cina memberikan sokongan kepada PH, manakala sokongan daripada pengundi India dianggarkan antara 80 hingga 83 peratus.

Angka ini bukan sekadar mencerminkan kecenderungan politik ketika itu, malah keyakinan tinggi kedua-dua komuniti terhadap agenda reformasi, tadbir urus lebih baik serta harapan agar kerajaan mampu membawa perubahan inklusif dan berkesan.

Kepemimpinan PH jangan alpa dengan sokongan komuniti Cina dan India. Bacalah, dengarlah suara mereka. Mungkin ada kelemahan perlu ditangani dengan kadar segera. Sokongan sebegini tidak wajar diambil mudah atau dianggap kekal tanpa usaha berterusan.

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara, kadar sokongan Anwar dalam tinjauan pendapat awam Merdeka Center menunjukkan trend dinamik. Pada Mac 2023, beliau mencatat kadar kelulusan 68 peratus dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Sokongan itu menurun kepada 50 peratus pada Disember 2023 sebelum kembali meningkat kepada 54 peratus menjelang penghujung 2024. Momentum positif itu diteruskan apabila kadar kelulusan meningkat kepada 55 peratus pada 2025, manakala tinjauan terbaharu bagi Mac-April 2026 merekodkan 52 peratus.

Secara keseluruhannya, trend ini menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan Anwar kekal kukuh dengan sokongan stabil melebihi 50 peratus dalam dua tahun ini.

Malaysia melalui kepemimpinan sembilan Perdana Menteri. Anwar selaku Perdana Menteri ke-10 menerajui Kerajaan Perpaduan yang dibentuk berasaskan persefahaman politik demi kepentingan rakyat serta menjamin kestabilan negara.

Cabaran beliau hadapi tidak sama seperti pemimpin terdahulu. Namun bagi Anwar, badai politik sebegini bukanlah asing kerana sepanjang perjalanan karier politiknya, beliau melalui pelbagai ujian dan liku.

Hakikatnya, Malaysia kini semakin menyesuaikan diri dengan landskap politik baharu. Di Putrajaya, parti yang pernah bersaing mampu duduk semeja, berbincang dan bekerjasama mentadbir negara.

Namun apabila tiba musim pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya negeri (PRN) seperti di Johor, mereka kembali bertembung sebagai pesaing. Itulah realiti politik yang perlu diterima dalam sebuah demokrasi yang matang.

Justeru, sudah tibalah masanya slogan seperti ‘selamatkan Malaysia’ dihentikan daripada dijadikan modal politik setiap kali pilihan raya. Rakyat sudah memberikan mandat dan kepercayaan kepada kerajaan untuk mentadbir negara.

Dua tahun pertama pentadbiran Kerajaan MADANI bukanlah mudah. Kerajaan memilih untuk melaksanakan reformasi sekian lama tertangguh, termasuk penyasaran subsidi, pengukuhan disiplin fiskal, pembaharuan institusi serta usaha menarik pelaburan berkualiti.

Ia bukan bertujuan meraih populariti jangka pendek, tetapi membina asas ekonomi lebih mampan, meningkatkan integriti pentadbiran dan menjamin masa depan negara.

Rakyat kini semakin memahami reformasi bukanlah jalan pintas. Ia menuntut keberanian politik, kesabaran dan iltizam. Sebab itulah, walaupun kerajaan berdepan serangan politik hampir setiap hari, majoriti rakyat masih memilih untuk memberikan kepercayaan.

Rakyat lebih mementingkan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, pelaburan, pendidikan berkualiti dan kesejahteraan hidup berbanding retorik perkauman yang sering dimainkan oleh pihak tertentu.

Bagi pembangkang, kajian ini seharusnya menjadi medan muhasabah. Kritikan semata-mata tanpa menawarkan dasar lebih baik tidak mencukupi untuk meyakinkan rakyat. Dalam kajian bebas Merdeka Center, Anwar masih muncul sebagai pemimpin memperoleh sokongan tertinggi mengatasi semua tokoh pembangkang.

Rakyat mahukan kestabilan, reformasi dan kemajuan, bukannya politik kebencian, fitnah atau perpecahan. Data tidak pernah berbohong tapi seperti kata Anwar ‘jangan terkulai dengan pujian’.

Penulis adalah penganalisis politik dan perunding media

Kredit : Berita Harian