Peguam Dedah Punca Cerai Syida Melvin Dan Syafiq – “Anak Guam Dinafikan Hak, Perlu Bayar Tunggakan Rumah RM25K”

Peguam Dedah Punca Cerai Syida Melvin Dan Syafiq – “Anak Guam Dinafikan Hak, Perlu Bayar Tunggakan Rumah RM25K”

Pelakon dan usahawan, Syida Melvin nekad mempertahankan kediaman yang didakwa dibeli serta didaftarkan atas namanya selepas timbul pertikaian dengan bekas suami, Syafiq Azim Shaheen berhubung hak untuk menetap di rumah berkenaan.

Malah, Syida atau nama sebenarnya Nur Syifa Assyida Amirol Melvin, 29, mahu kembali menetap di kediaman yang terletak di Shah Alam, Selangor itu bersama tiga cahaya matanya.

Menurut peguam syarie yang mewakilinya, Nurul Jamaliah, tindakan tersebut diambil selepas Syida didakwa dinafikan hak untuk terus tinggal di rumah berkenaan, meskipun pinjaman bank dan pendaftaran pemilikan kediaman itu dibuat atas namanya.

Syida Melvin Dakwa Terpaksa Bayar Tunggakan Rumah RM25,696

Menurut Nurul Jamaliah, Syida telah keluar daripada kediaman tersebut sekitar April lalu ketika proses perceraian dengan Syafiq masih berlangsung.

https://www.instagram.com/syidamelvin/?utm_source=ig_embed&ig_rid=AGlLOooBoN1U1gS0FZL3FdM

Bagaimanapun, Syida kemudiannya dihubungi pihak bank berhubung tunggakan bayaran rumah selama empat bulan berjumlah RM25,696.

Lebih mengecewakan, menurut peguamnya, Syida terpaksa melunaskan tunggakan itu walaupun tidak lagi menetap di rumah berkenaan yang ketika itu didiami oleh Syafiq.

“Dalam proses penceraian Syida keluar daripada rumah sekitar April dan pihak bank mencarinya kerana terdapat empat bulan tunggakan rumah.

“Bayaran bulanan rumah sebanyak RM6,424, jadi bila pihak bank cuba hubungi bekas suami, Shafiq beritahu rumah atas nama Syida dan Syida juga yang terpaksa membayar sebanyak lebih RM25,000 bayaran tunggakan walaupun dia tidak tinggal di situ lagi.

“Selepas berlakunya penceraian, pada Ogos barulah Shafiq buat pembayaran rumah tersebut.”

Perkara itu dijelaskan Nurul Jamaliah ketika dihubungi mStar berhubung kemelut kediaman yang menjadi perhatian ramai sejak kebelakangan ini.

Rumah Didaftarkan 100 Peratus Atas Nama Syida

Mengulas mengenai status pemilikan kediaman berkenaan, Nurul Jamaliah turut menafikan dakwaan yang mempertikaikan hak anak guamnya terhadap rumah tersebut.

Jelasnya, rumah itu didaftarkan atas nama Syida dan pinjaman bank juga dibuat sepenuhnya menggunakan nama pelakon berkenaan.

Bagaimanapun, peguam tersebut tidak menafikan bahawa kediaman itu boleh menjadi sebahagian daripada tuntutan harta sepencarian memandangkan ia diperoleh ketika Syida dan Syafiq masih berkahwin.

“Seperti yang Syida selalu kongsikan di media sosial, pemilik berdaftar rumah tersebut adalah atas nama Syida dan pinjaman bank juga 100 peratus nama Syida.

“Daripada segi pembayaran sewaktu dalam tempoh perkahwinan, mereka bayar bersama iaitu separuh-separuh. Malah kos pengubahsuaian rumah juga ditanggung bersama.”

Menurut Nurul Jamaliah, pertikaian timbul apabila Syafiq didakwa tidak memfailkan tuntutan harta sepencarian lebih awal, sedangkan Syida pula tidak dapat kembali menetap di rumah tersebut.

“Pihak kami tidak menafikan pun yang rumah itu adalah harta sepencarian kerana ia dibeli dalam tempoh perkahwinan. Cumanya bila Shafiq tidak bertindak untuk failkan kes harta sepencarian ini dan Syida pula dinafikan haknya untuk tinggal di rumah itu, maka kami perlu mengambil tindakan terlebih dahulu.”

Peguam Dakwa Sudah Hantar Tiga Notis Kepada Syafiq

Dalam usaha menyelesaikan pertikaian berkenaan, Nurul Jamaliah memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar dua notis secara berperingkat kepada Syafiq pada 18 Mei dan 12 Jun lalu.

Notis tersebut bertujuan memohon agar Syafiq memberikan ruang kepada Syida dan anak-anak untuk kembali menetap di kediaman berkenaan sementara menunggu keputusan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.

Selain itu, peguam sivil Syida, Jannu Babian turut menghantar notis pengosongan rumah pada 21 Ogos 2026.

“Sebelum berlakunya kekecohan tempoh hari, pihak kami ada menghantar tiga notis secara berperingkat iaitu satu surat permohonan minta secara baik agar Syafiq beri ruang buat Syida dan anak-anak tinggal di rumah tersebut.

“Tapi Shafiq tidak bersetuju dan balas menerusi surat peguam mengatakan dia tidak berhasrat untuk keluar dari rumah itu dan akan failkan harta pencarian, namun dia tidak failkan kes itu sampailah pihak kami yang terpaksa berbuat demikian.

“Melalui surat peguam itu, Shafiq hanya benarkan anak-anak saja tinggal di rumah tersebut.”

Menurut peguam berkenaan, Syafiq tidak bersetuju dengan permohonan tersebut dan hanya membenarkan tiga anak mereka terus menetap di kediaman terbabit.

Syida Dan Syafiq Dijadual Hadir Proses Sulh Disember Ini

Dalam perkembangan sama, Nurul Jamaliah memaklumkan bahawa pihaknya telah mendaftarkan tuntutan harta sepencarian pada 20 Oktober lalu.

Kedua-dua pihak dijadualkan menghadiri proses majlis sulh pada Disember 2026 bagi mencari penyelesaian secara persetujuan bersama tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

“Pada Disember nanti akan ada satu rundingan iaitu proses majlis sulh untuk kedua-dua pihak, Syida dan Shafiq mencari kata sepakat menyelesaikan isu harta sepencarian ini.

“Sekiranya masing-masing mendapat kata sepakat maka kes ini tidak perlu berlanjutan lebih lama dan dapat diselesaikan dengan baik.

“Anak guam (Syida) saya berharap agar dia dan bekas suami dapat menyelesaikan masalah ini pada majlis sulh nanti tanpa perlu dibawa ke perbicaraan penuh.”

Sebelum Ini Tular Siaran Langsung Desak Bekas Suami Keluar Rumah

Terdahulu, kemelut bekas pasangan tersebut menjadi perhatian selepas Syida mengadakan siaran langsung menerusi TikTok pada 10 November lalu.

Dalam siaran langsung itu, Syida menyuarakan hasrat untuk kembali menetap di rumah berkenaan bersama tiga anaknya, selain meminta Syafiq mengosongkan kediaman tersebut.

Rakaman yang turut memperlihatkan kehadiran ahli keluarga Syida itu kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.

Kredit : Beautifulnara