Tiga dekad berlalu sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diperkenalkan, namun hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia termasuk mangsa sendiri, tidak tahu atau tidak yakin dengan keberkesanannya.

Lebih mengejutkan, ada yang langsung tidak pernah dengar nama akta ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nazare Yusra Mohamed, berkata ramai tidak ambil tahu selagi belum terkena.

“Apabila sudah jadi mangsa atau ada ahli keluarga terbabit, baru mereka tercari-cari maklumat,” katanya pada Seminar Bedah Akta: Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 di Dewan Khalid Kadir, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah HCTM, Datuk Dr Azmi Baharudin.

Walaupun pelbagai saluran bantuan seperti Talian Kasih 15999 wujud, Nazare mengakui, ramai yang masih tidak tahu atau keliru. Siapa nak dihubungi? Di mana nak berlindung? Apa hak mangsa?

Ini kerana katanya, maklumat sedemikian jarang disebarkan dalam platform yang dekat dengan rakyat, seperti di klinik kesihatan, sekolah, tempat kerja atau media sosial.

Katanya, ada juga segelintir masyarakat membuat tanggapan sistem perlindungan berkenaan berat sebelah.

Walaupun Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 memberi perlindungan undang-undang kepada mangsa, tetapi ada individu merasakan prosedurnya membebankan.

“Ia berikutan mangsa perlu buat laporan polis sendiri, kemudian polis pula perlu membuka kertas siasatan sebelum tindakan lanjut diambil oleh agensi lain seperti JKM atau mahkamah.

“Jika tak ada laporan atau kertas siasatan, maka tiada bantuan dapat diberikan. Itu realitinya,” tegas Nazare.

Lebih malang, pegawai perubatan yang tahu mengenai kes pun tidak boleh membuat laporan bagi pihak mangsa. Jika laporan dibuat tanpa kerjasama mangsa, kes boleh digugurkan di mahkamah.

“Jadi, mangsa sendiri yang perlu ada kesedaran dan membuat laporan polis sendiri supaya pelaku dapat diambil tindakan.

“Peranan pakar perubatan ialah membantu memberikan nasihat tetapi sebelum itu, mereka juga perlu mempunyai pengetahuan mengenai Akta ini supaya dapat membantu dengan sewajarnya,” katanya.

Mangsa takut buat laporan

Nazare turut berkongsi, ada kes mangsa takut buat laporan kerana bimbang pelaku akan bertindak lebih agresif.

Jika pelaku tidak direman atau tiada larangan menghampiri dikeluarkan, mangsa terus terdedah kepada bahaya, malah terpaksa kembali ke rumah pelaku.

“Bayangkan trauma dan penyesalan mangsa apabila tiada tindakan segera boleh diambil,” katanya.

Ramai anggap keganasan rumah tangga hanya berlaku pada wanita, tetapi akta ini sebenarnya melindungi semua, lelaki, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Namun cabarannya, tiada rumah perlindungan untuk lelaki dewasa, OKU atau warga emas yang jadi mangsa. Sistem sokongan masih belum menyeluruh,” katanya.

Justeru, beliau berharap lokasi yang menjadi tumpuan seperti klinik, hospital, balai polis, masjid, sekolah, tempat kerja perlu jadi ‘pintu masuk’ kepada bantuan.

Katanya, walaupun ia bukan agensi utama, tetapi sedikit sebanyak dapat membantu dengan memberikan maklumat lengkap tentang saluran bantuan.

“Antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan mengedarkan risalah atau poster berkenaan hak mangsa dan peranan akta berkenaan.

“Jika tahu ada sebarang kes, rujuk segera mangsa kepada JKM, polis atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak sekadar menunggu mangsa minta tolong terlebih dahulu,” katanya turut berharap, setiap agensi kerajaan dan NGO lebih celik mengenai Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *