LONDON: Israel menyatakan bahawa mereka telah menghentikan flotila yang membawa bantuan ke Gaza dengan tentera lautnya memintas kesemua kecuali satu kapal yang cuba memecahkan sekatan.
Daripada 42 kapal yang dijejaki secara dalam talian oleh Global Sumud Flotilla (GSF), 41 kapal dilaporkan telah disahkan atau dianggap telah dihentikan oleh pasukan Israel.
Sehingga petang semalam, GSF memulakan siaran langsung di Instagram menayangkan rakaman sebuah kapal bernama Marinette yang masih berlayar.
“Marinette masih berlayar dengan gagah,” kata GSF walaupun kapal itu kelihatan berada lebih jauh di laut dan sejajar dengan pantai Mesir.
Kapal itu dilapor berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza malam tadi dan 10 batu nautika dari lokasi Israel yang memintas bot lain dalam flotila terbabit.
Terdahulu, Kementerian Luar Israel, yang menyifatkan misi flotila itu sebagai satu provokasi berkata “semua penumpang selamat dan dalam keadaan sihat”, dan “mereka sedang dibawa ke Israel dengan selamat, dan dari situ mereka akan dihantar pulang ke Eropah.
Kapal-kapal dari flotila itu, yang membawa kira-kira 500 orang termasuk ahli parlimen, peguam dan aktivis — termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg — telah dinaiki oleh tentera Israel lewat malam kelmarin, kira-kira 75 batu nautika dari pantai Gaza.
Matlamat flotila yang membawa bantuan kemanusiaan simbolik, adalah untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza dan mewujudkan koridor maritim ke wilayah berkenaan.
Satu video dari Kementerian Luar Israel menunjukkan Thunberg duduk di atas dek kapal utama flotila, Alma, dikelilingi oleh askar.
Dalam video yang dimuat naik ke Instagram sejurus sebelum pemintasan, Thunberg berkata: “Nama saya Greta Thunberg. Saya berada di atas kapal Alma. Kami hampir dipintas oleh Israel.”
Thunberg dan aktivis lain telah ditangkap dan ditahan di pelabuhan Israel, Ashdod.
Walaupun beberapa kapal telah dinaiki oleh askar Israel, yang lain terus belayar ke arah Gaza sebelum turut dipintas.
Ini merupakan kali pertama sejak Israel mengenakan sekatan laut ke atas Gaza pada tahun 2009, sebuah misi kemanusiaan tanpa kebenaran telah berjaya menghampiri sejauh 70 batu nautika dari wilayah berkenaan.
GSF telah menerbitkan beberapa video di Telegram, memaparkan mesej daripada individu-individu atas kapal, ada yang memegang pasport mereka, menyatakan bahawa mereka telah “diculik dan dibawa ke Israel secara paksa”, serta menegaskan misi mereka adalah misi aman dan kemanusiaan. – Agensi
Kredit : Berita Harian