KUALA LUMPUR: Amyza Aznan menjawab pertanyaan netizen yang mempersoal dirinya dilihat sering memakai tudung sama sejak pemergian anak sulung, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar, 20, pada 23 Februari lalu.
Amyza, 50, mengakui ‘shawl’ (selendang) itu dipakai ketika bersama anak syurganya, buat kali terakhir.
Terdahulu, Amyza didapati berkongsi beberapa hantaran mesej peribadi (DM) dikirimkan pengguna media sosial kepadanya di InstaStory (IGs) yang bertanya, kenapa asyik pakai tudung sama.
Ramai rupanya yang perasan… Saya pakai ‘shawl’ yang sama sebab itulah kenangan akhir saya dengan Almarhum Andre Mikhail.
“Tetapi saya basuh walaupun pakai hari-hari. (Jawab dalam nada lembut sambil senyum manis),” tulisnya disertai emoji tersenyum.
Dua hari lalu, ibu tiga cahaya mata lelaki ini berkongsi luahan rindu yang sarat dirasainya terhadap Allahyarham Andre Mikhail yang pergi buat selama-lamanya sejak seminggu lalu.
Menerusi perkongsian Amyza di Instagram (IG), dia didapati memuat naik hantaran video memaparkan arwah Andre menyanyi lagu Keluhan Perantau nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah.
Bersama kapsyen ringkas, Amyza sekadar meluahkan kerinduan tidak terhingga terhadap Allahyarham, selain menitipkan al-Fatihah buat anak tersayang.
Allahyarham Andre Mikhail sebelum ini bertarung kanser paru-paru tahap tiga sejak setahun lalu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 5 Ramadan lalu.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada 24 Februari lalu.
Selain itu, anak kedua Amyza, iaitu Andrian Adam, 18, turut disahkan menghidap kanser tulang sejak Februari lalu. Difahamkan Amyza masih mencari hospital sesuai termasuk menjalani rawatan alternatif.
Kredit : Berita Harian
