KUALA LUMPUR: Pelakon, Nabila Huda mengakui kehidupannya mungkin tidak akan pernah sempurna selagi kemelut hubungan dengan bapanya, legenda rock Amy Search, masih belum menemui titik noktah.
Nabila atau mesra disapa Abil, 42, berkata sebagai anak, dia sudah berkali-kali cuba menjernihkan hubungan, namun usaha itu seolah-olah belum menemui jalan penyelesaian.
“Mungkin hidup saya tidak akan sempurna sampai bila-bila. Saya reda dan akan teruskan hidup dengan melakukan perkara yang menggembirakan saya.
“Saya terima apa pun takdirnya. Kalau sampai waktu itu untuk kami bertemu, Alhamdulillah. Kalau tidak pun tidak mengapa, mungkin kita bertemu pada ‘kehidupan’ yang lain,” katanya ditemui pada majlis Together Gather anjuran Viu Malaysia di sini, semalam.
Menurut pelakon filem Telaga Suriram itu, sebagai ketua keluarga, bapanya seharusnya memainkan peranan untuk meleraikan kemelut yang berpanjangan.
“Mungkin sebagai ketua keluarga dan seorang ayah, dia yang perlu selesaikan apa yang patut diselesaikan.
“Soal ruang untuk berbaik itu mungkin boleh tanya dia. Saya sudah banyak kali jawab soalan sama, tetapi setakat ini memang tiada jalan,” katanya.
Sebagai seorang ibu, Nabila mengakui sukar membayangkan perasaan jika terpaksa berpisah dengan anaknya sendiri, Kiesha Lemaire.
“Kalau saya kehilangan anak dan tak dapat jumpa Kiesha, saya rasa saya tidak mampu teruskan kehidupan.
“Saya mungkin tidak akan gembira dan akan menangis setiap hari sebab itu darah daging saya, anak yang membesar bersama saya.
“Tapi saya tidak tahu bagaimana dengan papa. Mungkin dia juga rasa, cuma tidak tahu bagaimana hendak lakukan,” katanya.
Tambah Nabila, buat masa ini dia memilih memberi fokus kepada kehidupan sederhana bersama keluarga kecilnya.
“Sekarang saya bahagia dengan kehidupan sederhana saya. Setiap hari saya berdoa, lebih-lebih lagi pada Ramadan dan Syawal, tetapi doa itu masih belum dimakbulkan.
“Apa yang saya boleh buat hanyalah senyum dan teruskan hidup. Kalau terlalu lama bersedih, kasihan keluarga yang ada di depan mata.
“Doa saya cuma satu, supaya hidup saya benar-benar bahagia dan lengkap. Sekarang saya bahagia, tetapi masih ada sedikit kekosongan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabila bakal muncul dalam drama Viu Original berjudul Cela bergandingan dengan Hun Haqeem.
Kredit : Berita Harian
