Iman belajar dulu baru terjun dunia lakonan

DALAM bidang nyanyian, nama Iman Troye antara penyanyi wanita ‘Gen Z’ dikenali mempunyai ramai peminat, apatah lagi lagu-lagunya seperti Teman, Nang dan Bunga Kemboja cukup popular.

Tidak hanya itu, Iman juga pernah terbabit dalam dunia lakonan pada 2022 dengan membintangi drama mini, Menawan Impian di TV3 kerana menjadi duta jenama produk penjagaan kulit.

Boleh dikatakan ketika itu sekadar ‘cuba-cuba’, namun Iman atau nama sebenar Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 24, mengakui dia terbuka untuk bergelar pelakon pada masa akan datang.

“Saya ada perancangan untuk berlakon, tetapi saya rasa tidak boleh kalau nak berlakon ‘bulat-bulat’ macam itu sahaja tanpa mengikuti kelas lakonan terlebih dulu. Saya kena pergi belajar.

“Sebab waktu saya nak menyanyi dulu pun (lagu Teman pada 2020), saya ambil kelas (nyanyian). Kita kena ada ilmu kerana jika hendak buat apa-apa ilmu itu penting. Jadi, bagi saya nak berlakon bukan perkara mudah. “Ditambah lagi, ada ramai orang dalam industri yang berlakon. Malah, kita tak boleh buat netizen marah dan orang-orang lain juga geram. Jadi, sebelum dimarahi orang, biar cikgu yang marah saya dulu,” katanya.

“Sebab waktu saya nak menyanyi dulu pun (lagu Teman pada 2020), saya ambil kelas (nyanyian). Kita kena ada ilmu kerana jika hendak buat apa-apa ilmu itu penting. Jadi, bagi saya nak berlakon bukan perkara mudah. “Ditambah lagi, ada ramai orang dalam industri yang berlakon. Malah, kita tak boleh buat netizen marah dan orang-orang lain juga geram. Jadi, sebelum dimarahi orang, biar cikgu yang marah saya dulu,” katanya.

Ditemui baru-baru ini pada majlis sidang media Konsert Spotlight KL, Iman menjelaskan sebagai penggiat seni, dia menyedari perlu ada perancangan teliti untuk mengembangkan bakat lakonan selain menyanyi.

Namun, katanya, perkara itu tidak boleh dibuat secara terburu-buru tanpa mengikuti kelas lakonan terlebih dulu untuk menimba ilmu dan menilai sejauh mana benar-benar dia ada bakat yang boleh dikembangkan.

“Saya perlu ambil kelas lakonan kerana nak tengok boleh atau tidak berlakon. Jadi, saya kena mencuba dulu (hadiri kelas lakonan) sebab kalau saya tidak ada bakat, okeylah.

“Nampaknya, saya perlu terus fokus menyanyi sahaja. Apatah lagi berlakon drama sekarang, saya dapati kena ada banyak pengalaman terutama ‘in character’ dan pandai bermain emosi,” katanya.

Menyentuh pula kerjasamanya dengan pelakon, komposer dan penyanyi, Naim Daniel apabila merakam semula lagu Terasing, Iman berkata, mereka meminati lagu nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad itu.

“Kami suka dengan lagu itu dan bila mendengarnya dapatlah idea rakam semula. Memang seronok dan masing-masing pun bekerja secara profesional tanpa peduli hal berkaitan peribadi.

“Saya sangat hormati Naim dan kami hanya fokus kepada urusan kerjasama kerana sama-sama terbabit karier seni. Bagi saya, antara hal peribadi dan urusan kerja adalah dua perkara berbeza dan patut dipisahkan. “Sebagai sahabat dalam industri, saya tetap mendoakan yang baik-baik sahaja buat Naim, sekali gus mengenai perkara lain dialaminya memang saya tidak ambil tahu pun,” katanya.

Tidak menduga lagu Terasing menarik perhatian ramai selepas muzik video dimuat naik di YouTube pada 8 Mei lalu, Iman berkata, dia dan Naim hanya mahu berkongsi karya seni mereka.

“Saya teruja dan seronok sebab tidak sangka ramai orang suka lagu Terasing versi yang kami duet itu. Saya sangat berterima kasih kepada peminat dan pendengar yang menyokong hasil kerja kami.

“Kira-kira sebulan lagu itu kami ‘share’ di media sosial, sambutannya sangat baik termasuk di platform penstriman seperti Spotify. Terima kasih semua. Teruskan menyokong karya seni kami seadanya.

“Manakala, hal peribadi pula tidak perlu campur dan biarkan sahaja kerana kita adalah manusia biasa dan masing-masing akan diuji. Cuma, dalam karier seni ini terus berikan kami sokongan,” katanya.

Hingga kini muzik video Terasing duet Iman dan Naim itu sudah mencecah dua juta tontonan di YouTube serta mendapat lebih 500 komen netizen yang menyifatkan kolaborasi mereka mantap dan ada ‘chemistry’.

Terkenang arwah nenek

Kehilangan nenek tersayang dua tahun lalu yang menghadap Yang Maha Esa, Iman mengakui masih mengenang detik sedih berkenaan kerana rindu di hatinya tidak pernah hilang.

Katanya, memori bersama Allahyarham nenek muncul ketika mahu merakamkan lagu Terasing dan mungkin disebabkan liriknya juga cukup dekat di hati sesiapa yang pernah hilang insan tersayang dalam hidup.

“Ketika nak menyanyikan lagu ini (Terasing), saya tiba-tiba teringatkan arwah nenek yang meninggal dunia dua tahun lalu. Jadi, saya dapat rasakan lagu ini sangat sentimental, cukup berbekas di hati dan perlu rakam sebaiknya.

“Memang sayu ketika merakamkannya, tetapi kita pun tahu lagu ini antara karya terbaik Allahyarham Sudirman. Walaupun saya tidak wujud lagi pada era seni arwah, sampai sekarang Terasing masih ‘evergreen’.

“Jadi, saya amat berbesar hati bila dapat merakamkan semula lagu Terasing bersama Naim. Alhamdulillah, saya bersyukur lagu ini dapat sambutan yang begitu baik daripada orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Iman memberitahu dia giat menyiapkan album digital terbaharunya bergenre pop etnik yang seiring inspirasi irama asli dan tradisional Melayu yang bakal dilancarkan tahun ini.

SUMBER : hmetro.com.my