Tiga dekad terbiar, Highland Towers akhirnya dirobohkan sebelum akhir tahun

Ampang: Kondominium Highland Towers di Hulu Klang akan dirobohkan sebelum akhir tahun ini selepas Mahkamah Majistret membenarkan permohonan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), minggu lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Hasrolnizam Shaari berkata, keputusan mahkamah itu membolehkan struktur bangunan yang terbiar lebih tiga dekad lalu itu diruntuhkan.

Sehubungan itu, katanya pihak MPAJ kini dalam proses untuk menyelaraskan tindakan lanjut terutamanya kepada pihak yang akan menguruskan kerja-kerja perobohan.

“Kita akan anjurkan satu mesyuarat pelarasan membabitkan pihak pemilik unit yang diwakili oleh pihak pemaju dan insolvensi.

“Kita menjangkakan perkara ini tidak mengambil masa yang lama kerana semua dah jelas bahawa itulah matlamat yang diaturkan… Kita dalam tahun ini juga, proses perobohan itu akan berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Tanpa Kenderaan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat MPAJ 2026, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Terdahulu dalam ucapannya, Hasrolnizam berkata, MPAJ sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif hijau yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh MPAJ termasuklah program kitar semula, kempen kebersihan, aktiviti penanaman pokok, pendidikan alam sekitar dan pelbagai usaha lain yang menyokong agenda pembangunan mampan di kawasan pentadbiran.

“Program Hari Tanpa Kenderaan yang dianjurkan pada hari ini bukan sekadar satu aktiviti rekreasi atau riadah hujung minggu.

“Sebaliknya, program ini adalah manifestasi komitmen MPAJ dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat, mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan bermotor serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang diraikan pada hari ini juga turut memberi peluang kepada orang ramai menilai semula peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memelihara alam sekitar.

“Kelestarian alam bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata, tetapi adalah tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.

“Setiap tindakan kecil yang dilakukan seperti mengamalkan kitar semula, mengurangkan penggunaan plastik, menjaga kebersihan kawasan sekitar dan menanam pokok mampu memberikan impak yang besar kepada kesejahteraan alam sekitar,” katanya.

SUMBER : hmetro.com.my