Prosiding komital Nubhan, Dr Afifah bersambung Januari
SHAH ALAM: Prosiding komital membabitkan penyanyi, Nubhan dan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini, ditangguhkan.
Peguam yang mewakili Afifah, Nor Hazura Hamzah, mendakwa penangguhan itu susulan beberapa prosedur yang menurutnya masih belum disempurnakan oleh pihak pemohon.
Katanya, prosiding hari ini sepatutnya membabitkan sesi soal balas terhadap Afifah oleh peguam yang mewakili Nubhan selaku pemohon.
“Sepatutnya hari ini adalah untuk siasatan atau perbicaraan, termasuk sesi soal balas Dr Fie oleh peguam pihak pemohon, iaitu peguam Nubhan.
“Bagaimanapun, pihak sana masih belum menyempurnakan prosedur yang sepatutnya dibuat, jadi perbicaraan hari ini tidak dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, petang tadi.
Nor Hazura berkata, mahkamah kemudian menetapkan dua tarikh baharu bagi meneruskan prosiding berkenaan, iaitu 19 dan 27 Januari tahun depan.
Menurutnya, prosedur berkenaan perlu dipatuhi bagi memastikan prosiding dapat dijalankan dengan teratur serta mengelakkan sebarang isu yang boleh menjejaskan keputusan pada peringkat seterusnya.
“Perkara ini berkaitan dengan prosedur. Kalau kita teruskan juga, prosedur itu akan menjadi cacat.
“Mungkin apabila diteruskan pada peringkat akan datang, ada rayuan atau semakan. Jadi, apa-apa keputusan tidak boleh diputuskan dengan sempurna,” katanya.
Ditanya sama ada penangguhan itu mungkin berpunca daripada tindakan pihak pemohon yang sengaja melengahkan prosiding, Nor Hazura berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung perkara berkenaan.
“Saya tidak pasti sama ada sengaja melambatkan atau tidak. Ini kes mereka (Nubhan), mereka adalah pemohon dan kami responden.
“Sepatutnya, kalau mereka sudah menyempurnakan prosedur itu lebih awal, hari ini perbicaraan memang boleh dijalankan.
“Tetapi mereka belum menyempurnakan perkara yang sepatutnya dibuat, jadi hari ini memang perlu ditangguhkan,” katanya.
Sebelum ini, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 40, memfailkan prosiding komital terhadap Afifah berhubung dakwaan pelanggaran perintah mahkamah.
Bagaimanapun, segala dakwaan berkenaan masih tertakluk kepada proses dan penentuan mahkamah.
Nubhan dan Afifah sah bercerai dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 Disember tahun lalu.
Pasangan itu berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Kredit : Berita Harian