Lirik siap 30 minit bawa tuah
6 mins read

Lirik siap 30 minit bawa tuah

BUKIT JALIL: Hanya mengambil masa 30 minit untuk menyiapkan lirik, karya Tiwikarma akhirnya membawa K.O.I ke puncak Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40, sekali gus membuktikan kejayaan sesebuah karya tidak semestinya bermula dengan perancangan yang panjang.

Penulis liriknya, Tuan Nicky, mendedahkan lirik lagu berkenaan disiapkan secara tergesa-gesa selepas menerima pelawaan Achoi untuk menyertai projek itu, ketika dia sedang menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan.

Tuan Nicky berkata, dia diminta menyiapkan lirik dalam tempoh setengah jam dan terus bergegas keluar dari dewan sebelum mula menulis menggunakan telefon bimbit.

“Lagu ini kami buat tanpa dirancang dan agak tergesa-gesa, di mana lirik lagu itu siap dalam masa 30 minit.

“Waktu itu saya berada pada majlis perkahwinan kawan. Saya pergi ke belakang dewan, keluarkan telefon bimbit dan mula menulis lirik sebelum terus menghantarnya kepada Achoi.

“Sebelum itu, saya tanya lagu itu berkenaan apa dan dia kata mengenai Palestin. Saya rasa semua orang tahu pendirian saya mengenai isu Palestin.

“Jadi, saya tulis lirik itu secara tidak langsung, macam ada kod tersembunyi,” katanya pada sidang media selepas pengumuman pemenang AJL 40 di Unifi Arena, di sini, kelmarin.

Trofi kemenangan disampaikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut berada di pentas ialah Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima serta Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof.

Kemenangan K.O.I yang membuat penampilan sulung di pentas AJL itu turut mengangkat genre rap dan hip hop ke persada tertinggi selepas kejayaan Joe Flizzow dan SonaOne menerusi Apa Khabar, selain Gila nyanyian K-Clique, Noki, Loca B dan Kaka Azraff yang pernah menjulang trofi Juara Lagu.

Hemo Globin berkata, kejayaan itu memberi makna besar kepada K.O.I kerana genre hip hop dan rap sudah lama tidak muncul sebagai juara AJL.

“Kami cuba untuk tidak memikirkan sama ada orang akan menerima lagu kami atau tidak kerana mungkin itu akan membuatkan kami sendiri susah untuk menghasilkan karya-karya seterusnya.

“Cuma apa yang kami lakukan adalah memberikan yang terbaik. Kami buat apa yang kami sendiri suka kerana ini adalah minat dan semangat kami dan kami akan teruskan perkara itu,” katanya.

Achoi berkata, K.O.I dibentuk atas dasar minat dan semangat berkarya tanpa meletakkan sasaran menghasilkan lagu semata-mata untuk mengejar kemenangan di pentas anugerah.

Katanya, pendekatan sama diterapkan ketika menghasilkan Tiwikarma yang kebanyakannya dilakukan secara sendiri atau secara DIY dengan bantuan rakan-rakan.

“K.O.I ditubuhkan tanpa kami mengharapkan apa-apa. Kami buat kerana minat dan suka-suka. Tiwikarma pun kami hasilkan tanpa meletakkan harapan yang tinggi.

“Video muziknya pun kami hasilkan secara DIY. Semuanya DIY. Kami sendiri jadi kru, buat muzik sendiri dan hasilkan melodi semuanya sendiri.

“Kertas yang kami baling dalam persembahan tadi pun kami potong sendiri. Semuanya ada 200,000 keping yang dibuat dalam tempoh empat hari hingga berdarah-darah tangan kami,” katanya.

Achoi berkata, K.O.I akan terus menghasilkan karya mengikut minat mereka dan tidak mahu terikat dengan sasaran menghasilkan lagu khusus untuk AJL.

“Kami tidak meletakkan sasaran bahawa setiap karya yang dihasilkan mesti untuk AJL. Kami hasilkan karya kerana ia adalah minat kami dan sebagai tanda kami ikhlas berkarya.

“Kami juga tidak mahu terlalu memikirkan mengenai karya yang dibuat semata-mata untuk anugerah. Kami berkarya dengan ikhlas dan pada masa sama mahu menyampaikan mesej menerusi karya kami,” katanya.

Sementara itu, Khaza Raflex berkata, K.O.I sudah mempunyai lima hingga enam lagu dalam simpanan untuk diterbitkan selepas ini.

Katanya, kumpulan itu juga mempunyai dua lagi lagu yang tercalon di AJL 40, iaitu Niskala Swakarma dan Meta Dirgamma, selain merancang menghasilkan lebih banyak karya baharu serta album.

“Rezeki berpihak kepada Tiwikarma, Alhamdulillah. Untuk lagu-lagu seterusnya, sudah tentu kami akan keluarkan lagu lain yang ada dalam simpanan. Ada juga yang masih dalam proses.

“Selepas ini, insya-Allah K.O.I akan keluarkan lagu-lagu baharu dan kalau ada rezeki, kami nak hasilkan album juga,” katanya.

Mengenai wang kemenangan RM100,000, Khaza berkata, K.O.I masih belum mempunyai perancangan khusus kerana tidak menyangka akan bergelar juara.

Bagaimanapun, Achoi menyuarakan hasrat membawa karya tempatan ke pasaran antarabangsa.

“Saya rasa kami nak pergi ke luar negara. Bukan untuk bercuti, tetapi untuk membawa karya dari Malaysia ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Aisha Retno menyifatkan kejayaan meraih naib juara menerusi Tak Adil sebagai suntikan semangat untuk terus berkarya.

Aisha berkata, dia menerima keputusan juri dengan hati terbuka selepas mengakui persaingan AJL40 sengit, terutama dari segi kualiti lagu dan persembahan.

“Sudah tentu kita ada sasaran bila berada di AJL, tetapi keputusan kita serahkan kepada juri. Alhamdulillah, saya sangat terharu dan bersyukur kerana panel juri sudi menilai lagu ini dari segi komposisi dan persembahan,” katanya.

Mengulas kedudukan sebagai naib juara buat kali kedua, Aisha berkata, Tiwikarma sememangnya layak dinobatkan sebagai juara.

“Tiwikarma memang sangat layak untuk juara. Saya sudah dengar beberapa lagu finalis dan memang saingan sangat sengit.

“Saya suka cara mereka menyusun lirik dan mesej yang disampaikan. Kalau ada rezeki, saya mahu berguru dengan mereka dalam penulisan lagu,” katanya.

Pemenang tempat ketiga, Ryenald Guntabid pula mengakui tidak pernah menjangkakan kemenangan menerusi lagu ciptaan dan nyanyiannya sendiri, Lumangad Oku Dika.

Penyanyi berusia 30 tahun itu menganggap pencapaian berkenaan sebagai batu loncatan penting dalam perjalanan kerjayanya, selain detik paling membanggakan apabila melihat kedua-dua ibu bapanya menangis ketika namanya diumumkan.

“Sebenarnya, saya sangat tidak menjangkakan kemenangan ini dan saya anggap ia sebagai batu loncatan untuk saya dan juga kerjaya saya.

“Akan tetapi, sebesar-besar kebanggaan saya dan pasukan, apa yang membuatkan saya rasa lebih bangga ialah melihat kedua-dua orang tua saya tadi,” katanya.

Ryenald turut menggunakan pentas AJL40 untuk mengangkat bakat anak seni Sabah apabila membawa beberapa penyanyi kelahiran negeri itu menyertainya dalam persembahan.

Katanya, pembabitan Elica Paujin, Fanzi, Eylia Guntabid dan Mary Grace melambangkan semangat kesatuan serta sokongan penggiat seni Sabah terhadap kerjayanya.

Kredit : Berita Harian