Marsha hampir menyerah kalah sebelum AJL 40
KUALA LUMPUR: Diuji masalah kesihatan beberapa minggu sebelum Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40, Marsha Milan Londoh, 42, mengakui pernah berasa kecewa sehingga hampir mengalah untuk meneruskan persaingan di pentas berprestij itu.
Namun, sokongan padu daripada keluarga, pasukan dan mereka yang berada di sekelilingnya menjadi sumber kekuatan buat penyanyi itu untuk terus bertahan, sekali gus memberikan persembahan terbaik menerusi Tangisan Seorang Pendosa.
“Sebenarnya setiap hari sebelum menjelang AJL 40, saya rasa kecewa.
“Tapi alhamdulillah, saya ada sistem sokongan yang sangat kuat. Mereka selalu memberikan motivasi dan nasihat supaya saya terus kekal positif.
“Kadang-kadang apabila kita dalam keadaan sangat kecewa, tertekan dan ditambah pula dengan persekitaran yang mungkin tidak begitu sihat, mungkin saya tidak dapat memberikan persembahan yang baik.
“Tapi alhamdulillah, semua pasukan saya sangat menyokong. Saya rasa sebahagian daripada sebab saya boleh buat persembahan hari ini adalah kerana mereka,” katanya pada sidang media selepas AJL 40 di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, kelmarin.
Marsha berkata, dia berdepan masalah asid refluks dan sinus yang menjadi lebih mencabar apabila kedua-dua keadaan berkenaan berlaku serentak.
Katanya, keadaan itu turut menjejaskan kawalan lontaran suara dan ‘placement’ ketika menyanyi, selain sukar mengawal batuk.
“Apabila berada dalam keadaan begitu, kawalan lontaran suara atau ‘placement’ kadang-kadang agak sukar untuk saya kawal.
“Dari segi aktiviti harian, saya rasa sudah okey. Cuma mungkin untuk menyanyi, ia sedikit susah kerana sukar mengawal batuk.
“Jadi macam hari ini, saya banyak berpantang sepanjang sakit. Saya tidak sabar nak makan apa yang saya suka.
“Saya juga bersyukur Allah izinkan saya tetap berada di pentas dan menerima pula Anugerah Vokal Terbaik,” katanya.
Sementara itu, Marsha menyedari kemenangan Vokal Terbaik yang diraihnya menerusi Tangisan Seorang Pendosa turut dipertikaikan sesetengah netizen yang beranggapan penyanyi lain lebih layak menerima pengiktirafan berkenaan.
Bagaimanapun, penyanyi yang mempertaruhkan lagu ciptaannya sendiri dengan lirik oleh Hazama itu menerima keputusan juri dengan hati terbuka.
“Saya faham mengenai perkara itu. Mungkin ada yang tidak begitu setuju, mungkin ada yang setuju, tetapi bagi saya, juri yang memilih dan mereka lebih arif dalam hal ini.
“Jadi saya berterima kasih kepada juri. Mungkin telinga juri dan telinga netizen berbeza. Saya pun tidak boleh nak cakap apa-apa.
“Apa pun, saya berterima kasih kepada juri kerana akhirnya mengiktiraf vokal saya,” katanya.
Marsha yang pertama kali memenangi trofi Vokal Terbaik mengakui tidak menyangka dipilih sebagai pemenang, apatah lagi keadaan kesihatannya kurang mengizinkan beberapa minggu sebelum pertandingan.
“Alhamdulillah, saya betul-betul tak sangka boleh menang Vokal Terbaik dengan situasi kesihatan saya.
“Saya betul-betul tak sangka, tetapi saya sangat bersyukur dan berbesar hati mendapat anugerah ini kerana ini adalah anugerah pertama saya untuk Vokal Terbaik,” katanya.
Marsha berkata, pengiktirafan itu turut memberi makna besar kepadanya kerana buat pertama kali merasakan kemampuan vokalnya benar-benar dihargai.
“Saya sebenarnya tak tahu nak cakap apa, tapi saya kelu. Jika saya diberikan kesihatan yang saya rasa sempurna pun, mungkin belum tentu lagi saya boleh menang.
“Tapi dengan situasi sekarang, lagi saya tak terfikir yang saya akan menang. Jadi bila Datuk Acis cakap begitu, saya sangat-sangat bersyukur sebab akhirnya saya rasa ada orang yang nampak potensi dalam vokal saya.
“Saya harap kemenangan ini boleh menjadi satu motivasi untuk saya terus membetulkan lagi vokal saya dan mungkin juga mencari lebih banyak karya untuk saya berkarya,” katanya.
Kemenangan itu melayakkan Marsha membawa pulang trofi Vokal Terbaik serta wang tunai RM12,000.
Kredit : Berita Harian