Rakyat tidak wajar tanggung kesan rasuah sektor pertanian
UCAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menyentuh beberapa persoalan asas mengenai pemerintahan, khususnya kedudukan sektor pertanian dalam strategi pembangunan negara.
Inti patinya turut menyentuh hubungan antara peruntukan awam dengan tatakelola, beban kewangan akibat kelemahan pengurusan institusi serta keperluan kerajaan bertindak terhadap penyelewengan tanpa tunduk kepada tekanan politik.
Perdana Menteri memperlihatkan pendirian tepat. Malaysia boleh bercakap mengenai kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, peralihan tenaga dan teknologi tinggi, tetapi keterjaminan makanan tetap kepentingan strategik negara.
Ungkapan beliau negara perlu ‘menggapai yang di langit, mengakar ke bumi’ membawa maksud pembangunan teknologi tidak boleh menyebabkan pertanian dianggap sektor lapuk.
Sebaliknya, teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), digitalisasi, perdagangan dan penyelidikan perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti pertanian.
Sebab itu komitmen kerajaan untuk terus memberi perhatian kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, termasuk kemungkinan menambah peruntukan dalam belanjawan, wajar disokong.
Satu perkara lebih penting ialah penegasan Perdana Menteri peruntukan lebih besar mesti disertai tatakelola lebih baik. Perdana Menteri menggunakan isu pengedaran baja kepada pesawah di Kedah sebagai contoh.
Apabila syarikat diberikan tanggungjawab gagal melakukan pengedaran dengan baik, pesawah menanggung akibatnya. Di sinilah pendirian Perdana Menteri harus dipuji.
Arahan beliau jelas, yang mana jika syarikat berulang kali gagal, batalkan kontraknya. Jika terdapat unsur rasuah atau penyelewengan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat.
Masalah dalam pentadbiran selama ini ialah kecenderungan untuk melindungi kegagalan atas nama kepentingan tertentu. Kontrak bermasalah kadang-kadang dipanjangkan, kegagalan diselesaikan melalui rundingan dan kerugian akhirnya ditanggung kerajaan. Sedangkan wang kerajaan ialah wang rakyat.
Isu FELDA dibangkitkan Perdana Menteri adalah serius. Menurut beliau, kerajaan perlu menyediakan sekitar RM980 juta setahun bagi membayar komitmen hutang akibat kerugian FELDA. Hampir RM1 bilion setahun bukan angka kecil. Ia kos nyata kepada kegagalan tatakelola.
Jika jumlah sebesar itu tidak perlu digunakan untuk menanggung hutang akibat keputusan pengurusan terdahulu, berapa banyak kemudahan peneroka boleh dinaik taraf. Berapa banyak program peningkatan pendapatan boleh dibiayai dan berapa banyak infrastruktur luar bandar boleh diperbaiki.
Sebab itu, isu FELDA tidak boleh dilihat sekadar sebagai pertikaian sejarah mengenai siapa salah dan siapa betul. Ia membawa kesan fiskal masih ditanggung kerajaan dan rakyat hari ini.
Perdana Menteri juga mengambil pendirian peneroka tidak boleh dipaksa menanggung kelemahan pengurusan yang bukan berpunca daripada mereka. Jika kerugian berpunca daripada keputusan pengurusan atau penyelewengan, tidak munasabah beban itu dipindahkan kepada mereka.
Pada masa sama, kerajaan perlu menyediakan ratusan juta ringgit lagi untuk membaiki kemudahan dan perumahan berkaitan FELDA. Ini menunjukkan apabila institusi awam atau berkaitan kerajaan diurus dengan lemah, kesannya boleh berpanjangan dan kos pemulihan akhirnya ditanggung generasi berikutnya.
Banteras rasuah tanpa kira kedudukan
Sebab itu, Perdana Menteri tepat apabila menolak tanggapan pembanterasan rasuah hanya berkaitan orang besar. Rasuah mempunyai mangsa ekonomi.
Apabila wang diseleweng, peruntukan pembangunan berkurang. Apabila projek menjadi terlalu mahal kerana ketirisan, kerajaan perlu mencari dana tambahan. Apabila sebuah institusi mengalami kerugian besar, pembayar cukai akhirnya menanggungnya.
Dalam konteks ini, tindakan terhadap rasuah bukan soal dendam politik. Ia juga soal pengurusan fiskal dan perlindungan kepentingan rakyat.
Perdana Menteri turut menjelaskan pemisahan fungsi institusi. Perdana Menteri tidak menyiasat kes, tidak menentukan pendakwaan dan tidak menjatuhkan hukuman.
Penyiasatan dilakukan oleh badan penguatkuasaan, pendakwaan pihak berkenaan dan keputusan mahkamah. Peranan kerajaan memastikan institusi itu menjalankan tugas.
Penjelasan ini penting kerana dalam politik Malaysia, hampir setiap siasatan terhadap tokoh politik mudah ditafsirkan sebagai campur tangan pemerintah. Jika setiap tindakan undang-undang dianggap penganiayaan politik, sistem penguatkuasaan akhirnya akan dilemahkan.
Kerajaan perlu memastikan proses itu adil dan konsisten. Namun, ketakutan terhadap tuduhan politik tidak boleh menjadi alasan untuk tidak bertindak.
Dalam hal ini, Perdana Menteri menunjukkan keberanian politik wajar dihargai. Beliau sendiri mengakui tindakan sedemikian tidak semestinya popular.
Seorang Perdana Menteri, bagaimanapun, tidak boleh membuat keputusan semata-mata berdasarkan populariti. Kerajaan serius mengenai reformasi mesti sanggup menanggung kos politik apabila kepentingan awam menuntut tindakan.
Ucapan beliau turut menyentuh perubahan iklim, jerebu, tenaga dan hubungan antarabangsa. Kesemuanya mempunyai hubungan langsung dengan pertanian.
Perubahan cuaca mempengaruhi hasil tanaman, bekalan air dan produktiviti, manakala peralihan tenaga akan mempengaruhi kos pengeluaran serta struktur ekonomi pertanian pada masa depan.
Ini menunjukkan sektor pertanian tidak lagi boleh diurus secara terasing, tetapi memerlukan pendekatan merentas kementerian menggabungkan teknologi, tenaga, perdagangan, alam sekitar dan pembangunan luar bandar.
Namun, mesej terpenting ucapan Perdana Menteri ialah kerajaan boleh menambah peruntukan, tetapi peruntukan lebih besar tanpa akauntabiliti hanya membuka ruang lebih luas kepada ketirisan. Justeru, sokongan terhadap sektor pertanian mesti berjalan seiring dengan reformasi tatakelola.
Beliau bukan sekadar bercakap membantu petani, pesawah dan peneroka, tetapi turut menyentuh punca menyebabkan bantuan kerajaan gagal memberikan kesan maksimum.
Atas sebab itu, keberanian Perdana Menteri membawa isu ini secara terbuka harus disokong. Kerajaan bukan sahaja perlu membantu rakyat, tetapi mesti memastikan tidak ada pihak menggunakan struktur kerajaan untuk mengambil hak rakyat. Inilah asas pemerintahan bertanggungjawab.
Penulis adalah Ketua Pegawai Digital merangkap pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia
Kredit : Berita Harian