Siti sapu 14 pencalonan AIM25
1 min read

Siti sapu 14 pencalonan AIM25

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuktikan pengaruhnya dalam industri muzik tempatan masih utuh apabila mendominasi senarai pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) dengan 14 pencalonan.

Pencapaian itu meletakkan Siti atau lebih mesra disapa TokTi sebagai artis dengan jumlah pencalonan tertinggi bagi edisi kali ini, sekali gus memperlihatkan kekuatan karya dan pengaruhnya dalam pelbagai cabang muzik.

Antara pencalonan utama Siti ialah kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma.

Siti turut bersaing dalam kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Luar Negara Terbaik menerusi tiga karya iaitu Cenderamaya, Kumbang Bunga dan Jenjang Cinta.

Dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik pula, Siti dicalonkan menerusi Kesuma, Rencong; Hujung Bumi dan Pesanan Buat Diri.

Album Gema Bumantara turut membawa nama Siti ke pencalonan kategori Album Terbaik selain Rakaman Album Terbaik.

Lagu Pesanan Buat Diri pula melayakkan Siti bersaing dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Negara, selain turut dicalonkan dalam kategori Rakaman Lagu Terbaik bersama Kesuma.

Siti turut menerima pencalonan dalam kategori Lagu Perayaan Terbaik menerusi Raya Nak Ke Mana?

Deretan pencalonan itu menyerlahkan kepelbagaian karya Siti yang merangkumi muzik tradisional, lagu perayaan, kolaborasi antarabangsa serta aspek vokal dan produksi.

Sementara itu, Aisha Retno menjadi antara pencabar terdekat dengan enam pencalonan, manakala Hael Husaini dan Mimifly masing-masing menerima lima pencalonan.

Kumpulan Alpha pula memperoleh empat pencalonan, sementara Shila Amzah dan Aina Abdul masing-masing meraih tiga pencalonan.

AIM25 bakal berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September ini.

Penganjuran edisi ke-25 itu mencatat sejarah tersendiri apabila AIM buat pertama kali berlangsung di Bumi Kenyalang.

Kredit : Berita Harian