Janna Nick tamat sarjana perfileman di UK dengan keputusan cemerlang
2 mins read

Janna Nick tamat sarjana perfileman di UK dengan keputusan cemerlang

KUALA LUMPUR: Pelakon Janna Nick berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana dalam bidang perfileman di United Kingdom (UK) dengan keputusan cemerlang selepas setahun menimba ilmu di negara itu.

Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 31, berkata kejayaan itu menjadi antara detik paling bermakna dalam hidupnya selepas berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian.

“Saya sudah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perfileman di UK dengan keputusan cemerlang. Jadi, sudah dua minggu saya pulang ke Malaysia.

“Cuma nanti saya akan ke sana semula untuk menghadiri majlis graduasi. Alhamdulillah, penat lelah saya berbaloi. Saya sendiri tidak menjangka perkara ini akan berlaku, tetapi Allah izinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada acara Meet & Greet bersama calon Anugerah Melodi Terbaik (AMT) 2026 di MyKart Raceway, di sini, semalam.

Mengulas tempoh pengajiannya di UK, Janna berkata, dia sengaja tidak mendedahkan secara terperinci mengenai kehidupan sebagai pelajar, termasuk rutin pengajian menerusi media sosial.

Pelakon drama My Coffee Prince itu menjelaskan, pendekatan berkenaan diambil kerana bimbang terkena penyakit ain, selain mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian.

“Saya punya tahap takut itu sampai saya bimbang untuk berkongsi apa-apa mengenai pengajian di media sosial kerana takut terkena penyakit ain.

“Jadi, setahun saya tidak cerita apa-apa sampailah akhirnya mendapat keputusan, barulah saya kongsikan kepada umum.

“Walaupun saya selalu buat vlog mengenai kehidupan di sana, saya tetap tidak buat video yang menunjukkan saya sedang mengikuti pengajian,” katanya.

Pemenang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-34 pada 2021 itu berkata, dia sememangnya memilih untuk mengehadkan perkongsian mengenai perkara yang terlalu diinginkan dalam hidup.

Menurut Janna, pendekatan itu dilakukan bagi memastikan tumpuannya terhadap pengajian tidak terganggu sehingga berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

“Saya takut penyakit ain sebab saya memang mahu berjaya dalam pengajian yang saya ambil ini. Kalau perkara yang saya terlalu inginkan, saya memang elak daripada buat kandungan mengenainya.

“Saya hanya buat video mengenai perkara biasa dalam hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Janna berkata, kejayaan menamatkan pengajian sarjana turut menyuntik semangat untuk meneruskan pengajian ke tahap lebih tinggi.

Katanya, dia kini mula mencari peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), namun belum membuat keputusan mengenai lokasi pengajian.

“Lepas dapat keputusan, saya terus cari dekat mana hendak sambung PhD. Untuk sambung di mana masih belum diputuskan, mungkin di Malaysia atau kalau ada rezeki, boleh sambung di luar negara,” katanya.

Pada September tahun lalu, Janna berkongsi keterujaannya memulakan kehidupan baharu di London, England, bersama suaminya yang juga pelakon, Dini Schatzmann.

Janna bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai penghijrahannya itu sebelum kemudiannya diketahui umum bahawa keputusan berkenaan dibuat bagi membolehkannya melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang perfileman.

Kredit : Berita Harian