Amir Ahnaf Sebak Dengan Sokongan Peminat, Tak Sangka Masih Ada Tempat Dalam Industri – ‘Saya Hilang Kepercayaan Diri’
Pelakon Amir Ahnaf tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata kerana tidak menyangka masih mendapat sokongan daripada orang ramai selepas berdepan kontroversi yang menjejaskan keyakinan dirinya sejak kebelakangan ini.
Amir Ahnaf sebak, menangis

Ketika ditemui OhBulan!, Amir atau nama lengkapnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, mengakui dia kehilangan kepercayaan terhadap diri sendiri selepas apa yang berlaku dalam tempoh dua hingga tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, pelakon itu meluahkan rasa syukur apabila melihat sendiri sokongan yang diberikan oleh orang ramai terhadap karya terbarunya, Baga: Esok Untuk Siapa.
Setelah apa yang berlaku dalam dua tiga bulan yang lepas, saya hilang rasa kepercayaan terhadap diri sendiri.
Selepas saya melihat, merasa apa yang kalian rasa, saya rasa bersyukur sebab kalian lebih hargai rasa manusia berbanding rasa orang lain.
Saya jujur dalam setiap apa yang saya buat, apatah lagi naskhah yang saya bawa. Begitu juga dengan pelakon lain. Semua rasa datang daripada hati yang jujur.
Saya percaya apa yang kita buat dalam hidup kita tak kisah apa benda pun, kalau jujur semua orang akan rasa, dan saya bersyukur sebab korang rasa sekali.
Amir berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem Baga: Esok Untuk Siapa, yang berlangsung di TGV Pavilion Damansara Height, pada Isnin.
Dalam pada itu, pelakon drama Projek: High Council ini mengakui tidak menyangka masih mempunyai tempat dalam industri seni. Malah, dia pernah menganggap perjalanan kerjayanya dalam industri hiburan sudah berakhir.
Saya tak percaya yang korang semua masih ada dekat sini sebenarnya, sebab saya ingat saya dah hapus dah dalam industri ni, saya ingat saya dah tak ada dah.
Tapi saya percaya aku ada dalam industri ni sebab aku nak tolong family aku dan industri kita, aku nak angkat talent-talent yang kita tak nampak sebelum ni untuk kongsi rasa dengan kita semua.
Aku angkat cerita ni bukan sebab aku seorang, kita buat semua ni untuk industri Malaysia, untuk korang semua rasa.
Sementara itu, Amir turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sudi menghayati, mempercayai dan menghargai karya yang dibawanya.
Selain Amir, antara barisan pelakon yang membintangi filem Baga: Esok Untuk Siapa ialah Amirah Razak, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.
Naskhah terbitan Indigo Films dan Skop Productions itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November ini.
Amir Ahnaf Tercalon Dalam OhBulan! Paling Viral Online

Dalam perkembangan lain, Amir Ahnaf tercalon dalam kategori Pelakon Paling Viral di OhBulan! Paling Viral Online 2.0 dan berentap bersama 14 lagi calon iaitu Zara Zya, Zahiril Adzim, Yusry, Sophia Albarakbah, Sarimah Ibrahim, Rosyam Nor, Mimi Lana, Jazmy Juma, Irfan Zaini, Fasha Sandha, Aedy Ashraf, Ersyha Emyra, Chacha Maembong dan Tracie Sinidol.
Untuk info, OhBulan! Paling Viral 2.0 (OBPVO) mempertandingkan sembilan kategori iaitu Penyanyi Gen Z Paling Viral, Peniaga Paling Viral, Nepo Baby Paling Viral, Pelakon Paling Viral, Content Creator Paling Viral, Filem Paling Viral, Drama Paling Viral, Lagu Paling HOT dan Kelab Peminat Paling Viral.
Undian dibahagikan kepada dua fasa, iaitu Top 15 dari 2 November hingga 1 Disember 2026, diikuti Top 5 dari 7 Disember 2026 hingga 8 Januari 2027. Setiap pengguna boleh mengundi sehingga 50 kali sehari.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan OhBulan! Paling Viral Online 2.0 pada 15 Januari 2027, jam 9 malam, yang akan disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok rasmi OhBulan!
Jom meriahkan kempen ini dengan menggunakan tanda pagar rasmi #OhBulanPalingViralOnline2.0 dan layari laman rasmi OhBulan! Paling Viral Online 2.0 untuk maklumat lanjut serta mengundi calon pilihan anda!
Kredit : Oh bulan