TMJ dedah kesukaran bina JDT

KUALA LUMPUR: Di sebalik reputasi dan nama Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kian bertambah gah, pasukan itu sebenarnya memiliki ‘rahsia’ pada awal penubuhannya sekitar tahun 2013 yang lalu.

Pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan betapa beliau pada ketika itu berdepan kesukaran untuk ‘memujuk’ pemain bagi menyertai misi merevolusikan bola sepak negeri Johor.

Malah, Tunku Ismail turut mengakui bahawa beliau tidak memiliki pasukan pemantau untuk memburu pemain tempatan sebaliknya mengenali sendiri pemain yang dimahukan dalam pasukannya.

“Pada tahun 2013, saya tidak kenal satu pun pemain dalam Malaysia tetapi sejak 2014, saya lebih kenal pemain dan mula merekrut pemain.

“Tiada orang nak masuk JDT pada mula-mula dahulu kerana tiada keyakinan, mereka bimbang (bola sepak) adalah hobi sementara dan takut tidak bayar gaji dan ada masalah pada masa akan datang.

“Susah juga dan tidak begitu senang yakinkan pemain untuk masuk JDT,” kata Tunku Ismail yang ditemuramah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan deejay Hot FM menerusi segmen Bekpes Hot di Hot FM, pagi tadi.

Berdasarkan pencapaian dan kejayaan yang berjaya ditempa skuad Harimau Selatan, dapat disimpulkan bahawa pemain yang yakin untuk menyertai JDT membuat keputusan yang tepat.

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail turut mengakui beliau hanya mula berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pasukannya pada tahun 2020, tujuh tahun selepas projek itu dilancarkan pada tahun 2013.

“Saya rasa mulai 2020, barulah saya betul-betul berpuas hati dengan cara permainan dan terapkan falsafah kami. Untuk adakan satu falsafah itu, bukan buat falsafah sahaja.

“(Ia membabitkan) kualiti pemain yang boleh terapkan taktikal terbabit. Saya suka pasukan saya lebih padat, tidak suka ada kelompongan di bahagian tengah.

“Tidak berbelas kasihan ketika serangan balas pantas dan bertahan sebaga satu unit serta menguasai permainaan. Ini falsafah diterapkan di JDT,” katanya.

 

-BeritaHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *