KUALA LUMPUR: Beregu lelaki bakal menggalas misi besar untuk menyumbang dua mata dalam setiap perlawanan skuad negara pada saingan Piala Thomas di Horsens, Denmark, bermula Jumaat ini.

Ketua jurulatih negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan misi itu tetap menjadi keutamaan meskipun Man Wei Chong masih dalam proses pemulihan kecederaan lutut kanan ketika kem latihan di Herning.

“Matlamat kami menyumbang dua mata daripada beregu dalam setiap perlawanan. Ia bukan tugas mudah, tetapi kami akan lakukan yang terbaik untuk membantu pasukan mencapai kemenangan,” katanya.

Cabaran beregu negara akan diketuai pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dijangka menjadi sandaran utama meraih mata penting.

Sekiranya Wei Chong tidak pulih sepenuhnya, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dijangka menggalas tanggungjawab sebagai beregu kedua.

“Wei Chong menunjukkan perkembangan positif dari segi pemulihan. Kita juga ada pilihan lain seperti Sze Fei-Izzuddin, jadi kita akan nilai sebelum membuat keputusan akhir,” kata Herry.

Tekanan ke atas barisan beregu dilihat semakin meningkat berikutan prestasi tidak menentu sektor perseorangan yang dibarisi Leong Jun Hao dan Justin Hoh.

Dalam masa sama, pemain profesional Lee Zii Jia perlu memainkan peranan penting sebagai perseorangan ketiga untuk menyumbang satu mata.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka kempen menentang England Sabtu ini, diikuti Finland (27 April) sebelum berdepan Jepun pada 29 April.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *