Pearly Tan Mohon Maaf, Tarik Diri Dari Piala Uber Akibat Kecederaan

Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan, memohon maaf kepada rakan sepasukan dan penyokong selepas terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Uber akibat kecederaan belakang yang dialaminya.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook peribadinya, Pearly menyampaikan rasa kecewa berikutan tidak dapat bersama pasukan dalam kejohanan berprestij itu biarpun mempunyai keinginan kuat untuk beraksi di gelanggang.

“Saya dengan tulus memohon maaf telah mengecewakan semua. Baru-baru ini saya mengalami kecederaan belakang semasa kejohanan terakhir saya dan saya amat kecewa,” kongsinya.

Menurut Pearly, keputusan untuk menarik diri bukan sesuatu yang mudah kerana hasratnya adalah untuk terus berjuang bagi setiap mata dan berdiri bersama rakan sepasukan sepanjang kejohanan berlangsung.

Kecederaan di bahagian belakang yang dialaminya kali ini mengingatkan kembali kepada situasi sama yang pernah dialami kira-kira tiga tahun lalu sehingga hampir menjejaskan keseluruhan kerjayanya sebagai atlet badminton.

Katanya, beberapa hari kebelakangan ini merupakan tempoh yang sukar apabila beliau mengalami kesukaran untuk tidur dan sering memikirkan sama ada terdapat pilihan lain yang membolehkannya terus beraksi.

“Sesiapa yang mengenali saya tahu bahawa saya tidak akan meninggalkan gelanggang begitu sahaja. Setiap kali, saya akan berjuang sehingga mata terakhir. Kali ini, tubuh saya memberitahu saya untuk berhenti, dan saya perlu mendengarnya,” katanya.

Atlet wanita itu turut memaklumkan bahawa keputusan berkenaan juga dibuat bagi mengelakkan kebimbangan berterusan dalam kalangan ahli keluarganya, selain memberi ruang kepada tubuh untuk pulih sepenuhnya.

“Saya benar-benar minta maaf kerana tidak dapat berada di sana untuk berjuang bersama anda semua. Ketahuilah bahawa hati saya sentiasa bersama pasukan. Saya akan terus memberi sokongan kepada setiap orang walaupun dari jauh,” ujarnya.

Pearly juga berjanji akan melakukan segala yang termampu untuk kembali lebih kuat selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami.

“Buat masa ini, apa yang saya harapkan hanyalah tubuh yang sihat supaya dapat kembali ke gelanggang semula,” katanya.

Atlet tersebut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepadanya sepanjang tempoh sukar yang dihadapi.

“Saya memohon maaf kerana membuat semua orang bimbang, dan sekali lagi saya memohon maaf kepada pasukan saya. Terima kasih atas segala kebaikan dan sokongan anda. Ia amat bermakna buat saya,” luah Pearly.

https://www.facebook.com/Pearly314?fref=nf&ref=embed_post

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *