Kuala Lumpur: Kedudukan Datuk Azizulhasni Awang dalam ranking pecut elit lelaki Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menurun tiga anak tangga ke posisi ke-21, biarpun meraih satu emas dan satu perak pada Piala Dunia Trek di Nilai, hujung minggu lalu.

Azizulhasni kini mengumpul 2,700 mata keseluruhan, hasil gabungan acara keirin dan pecut individu, dengan ranking semasa diketuai Nicholas Paul (Trinidad&Tobago) diikuti Harrie Lavreysen (Belanda) dan Leigh Hoffman (Jerman).

Pengarah teknikal program berbasikal trek negara, John Beasley menjelaskan penurunan itu berpunca daripada sistem pengiraan mata UCI bagi tahun bukan Olimpik.

Katanya, sistem itu hanya mengambil kira satu keputusan terbaik bagi setiap acara sepanjang siri Piala Dunia, sekali gus mengehadkan pengumpulan mata walaupun pelumba mempamerkan konsistensi tinggi.

“Walaupun dia menang dua emas keirin termasuk satu di Perth, sistem hanya kira satu keputusan terbaik, jadi ia tidak mencerminkan pencapaian sebenar.

“Begitu juga dalam pecut individu, dua kali tempat ketiga adalah konsisten di tahap dunia, tetapi tidak memberi kelebihan tambahan dalam ranking,” katanya.

Menurut beliau, ketiadaan Azizulhasni di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia tahun lalu turut memberi kesan besar kerana kejohanan itu menawarkan mata tinggi dalam sistem ranking.

“Apa yang berlaku menunjukkan model ranking tahun bukan Olimpik ini bukan gambaran sebenar prestasi, sebaliknya lebih kepada penapisan mata yang ringkas,” katanya.

Sebagai rekod, Azizulhasni meraih dua emas keirin dan dua gangsa pecut individu musim ini, selain muncul juara keseluruhan keirin dan menduduki tempat kelima keseluruhan pecut individu.

Untuk rekod, Azizulhasni sebelum ini mengambil rehat panjang selepas Sukan Olimpik Paris 2024 dan hanya kembali beraksi hujung tahun lalu, menyebabkan dia terlepas Kejohanan Berbasikal Trek Dunia.

Pelumba berusia 37 tahun itu memberi bayangan akan bersara selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada Oktober ini.

Namun, banyak pihak termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap dia menangguhkan hasrat itu sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Sementara itu, Shah Firdaus Sahrom yang kembali selepas pembedahan lutut melonjak 45 anak tangga ke kedudukan ke-155 dengan 589 mata.

Dalam kategori wanita elit, Nurul Izzah Izzati Asri kekal di tangga ke-13 (3,182 mata), manakala Nur Alyssa Farid naik satu anak tangga ke posisi ke-17 (2,484 mata).

Kredit : Harian Metro

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *