KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dipaksa bekerja keras sebelum melangkah ke suku akhir Masters China 2025 selepas menewaskan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu hari ini.
Beraksi di Shenzhen Arena, Tang Jie-Ee Wei bermula garang apabila mudah meraih kemenangan di set pertama 21-13 namun tampak hilang rentak di set kedua apabila pihak lawan bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 21-13.
Aksi sengit berterusan dalam set penentuan sebelum pasangan negara yang juga juara dunia 2025 itu memastikan kemenangan dengan keputusan 21-16, sekali gus menamatkan pertarungan selama satu jam tiga minit.
Mengulas perlawanan berkenaan, Tang Jie berkata, komunikasi masih menjadi kunci utama kepada gandingan berkenaan pada ketika gandingannya Ee Wei tidak begitu sihat kerana mengalami batuk dan selesema.
“Saya fikir, kami berdua mempunyai kemampuan untuk mendahului permainan. Jadi untuk dia (Ee Wei), mungkin dia tidak berapa sihat hari ini, mungkin ini masanya untuk saya menjadikan dia lebih selesa di dalam gelanggang.
“Acara beregu adalah kerjasama antara dua pemain. Jadi ia satu usaha bersama. Untuk kami, kami gembira kerana dapat menang perlawanan hari ini,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.
Dalam pada itu, Ee Wei yang mengalami isu kesihatan sebelum menyertai kejohanan berstatus Super 750 itu turut bersetuju dengan kenyataan Tang Jie apabila berkata: “Tang Jie ada bercakap dengan saya, bagaimana pelan perlawanan.
“Jadi saya mengikut apa perancangannya dan pada akhirnya, kami hanya percaya kepada satu sama lain. Jadi itu adalah kuncinya untuk hari ini.”
Kejayaan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengekalkan rekod bersih dalam empat pertemuan ke atas gandingan Indonesia itu kepada 4-0, termasuk kemenangan dalam pertemuan terakhir mereka di pusingan kedua Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.
Dalam aksi berkenaan, Tang Jie-Ee Wei turut diuji hebat sebelum mencatat kemenangan 14-21, 21-19, 21-17 dalam tempoh satu jam lapan minit.
Untuk rekod, pada edisi Masters China tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada gandingan tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 18-21, 13-21.
Sementara itu, satu lagi pasangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, gagal meneruskan kemaraan selepas tersingkir di pusingan kedua kepada pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan, dalam aksi tiga set 6-21, 21-16, 12-21.
Kredit : Berita Harian