Konflik bersenjata yang tercetus di Iran kini memasuki hari keempat dengan serangan berterusan di rantau Asia Barat.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan politik dan ekonomi global.
Ketegangan yang melibatkan Iran serta pakatan Amerika Syarikat (AS) dan Israel dilihat semakin memuncak, dengan perkembangan terbaharu menyaksikan tindakan balas ketenteraan dan strategi geopolitik yang memberi kesan kepda laluan perdagangan utama dunia.
Mengulas situasi ini, pensyarah bidang Politik Islam Asia Barat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurhidayu Rosli, tampil mengupas mengenai kesan konflik Iran-AS.

Ketika ditanya SK, beliau menjelaskan bahawa corak campur tangan kuasa besar Barat dalam konflik serantau bukan perkara baharu.
Katanya, sejak era penjajahan, kekacauan sering dicetuskan atas nama kebebasan dan demokrasi.
“Selepas itu, campur tangan dilakukan kononnya untuk menyelesaikan konflik.
“Namun akhirnya, rakyat berpecah dan negara menjadi hancur, manakala hasil ekonomi dikuasai pihak luar,” ulas beliau.
Dalam hal ini, Selat Hormuz menjadi tumpuan dunia.
Perkaitan konflik Iran-AS dengan Malaysia
Dr Nurhidayu menjelaskan bahawa, jika Selat Hormuz ditutup oleh Iran sebagai reaksi balas terhadap serangan, ia akan memberi kesan besar kepada pasaran minyak dan gas dunia.
Hal ini berikutan laluan laut itu merupakan salah satu saluran utama bagi minyak mentah dan gas asli cecair dari negara-negara Teluk ke negara pengimport utama.
Jika laluan tersebut terjejas, kos minyak dan gas dijangka meningkat.
Kenaikan harga ini memberi kesan kepada ekonomi global termasuk Malaysia.
Tambah beliau, dalam situasi yang tidak menentu, pelabur cenderung beralih kepada aset selamat seperi dolar Amerika Syarikat atau emas.
Keadaan ini menyebabkan dolar mengukuh berbanding mata wang negara membangun.
“Ringgit Malaysia berpotensi melemah berbanding dolar AS jika aliran keluar modal berlaku,” jelas beliau.
Dr Nurhidayu turut menjelaskan bahawa pengukuhan dolar sering dikaitkan dengan ketidakstabilan global.
“Peperangan menyebabkan pengukuhan mata wang dolar. Senang cakap, dunia yang aman tak menjamin dolar AS.
“Oleh itu, cara untuk kukuhkan dolar AS adalah dengan mencipta peperangan,” tambah beliau.
Apabila dunia berada dalam keadaan tidak menentu, permintaan terhadap dolar meningkat.
Bagaimanapun, jika konflik berpanjangan dan eksport minyak negara Teluk terus terganggu, permintaan terhadap minyak Malaysia boleh meningkat.
Peperangan bukan perkara yang menguntungkan mana-mana pihak
Namun, Dr Hidayu menegaskan bahawa manfaat tersebut tidak bersifat langsung dan bergantung kepada pasaran.
“Tetapi, perlu diingat. Tiada sesiapa yang untung dengan konflik di Asia Barat ini melainkan elit politik yang gila kuasa dan pentingkan diri sendiri.
“Nak melancong, buat umrah, belajar dan bekerja di sana pun sudah menjadi terlalu berisiko buat masa sekarang,” titip beliau.
Menutup perkongsian, Dr Nurhidayu berharap konflik ini tidak akan menjadi kesan domino yang akan menarik negara-negara yang sedang berkonflik ke kancah kemusnahan.
Kredit : Siakap Keli
