Skip to content
-
Subscribe to our newsletter & never miss our best posts. Subscribe Now!
  • https://www.facebook.com/
  • https://twitter.com/
  • https://t.me/
  • https://www.instagram.com/
  • https://youtube.com/
PETAI JERUK PETAI JERUK

Rencah Kehidupan

PETAI JERUK PETAI JERUK

Rencah Kehidupan

  • Home
  • Sample Page
  • Home
  • Sample Page
Subscribe
Close

Search

RENCANA

Masyarakat India antara Nambikei, kuasa politik dan dilema perpaduan

By petaiking
August 11, 2026 5 Min Read
Comments Off on Masyarakat India antara Nambikei, kuasa politik dan dilema perpaduan

DALAM 67 tahun perjalanan Malaysia, masyarakat India mungkin minoriti dari segi jumlah, tetapi bukan dari segi sumbangan, pengorbanan dan pengaruh politik. Sekiranya pokok getah mampu berbicara, tentu terlalu ramai nama akan disebut – mereka yang menoreh, menanam, mengusahakan, menghidupkan dan berkorban dalam antara industri penting pembangunan.

Nambikei dalam bahasa Tamil bermaksud kepercayaan, harapan dan keyakinan. Ia melambangkan harapan suara komuniti India perlu terus didengari, hak atau ‘urimai’ dipertahankan dan diperjuangkan.

Ia sebahagian naratif politik menyasarkan masyarakat India sejak dahulu lagi. Namun, landskap politiknya berubah sekelip mata apabila kebangkitan HINDRAF melalui gelombang Makkal Sakti pada 2007. Buat kali pertama, masyarakat India lebih lantang, berani dan terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati, tuntutan serta harapan terhadap kerajaan.

Gelombang itu memberi kesan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Beberapa pemimpin tersohor kecundang. Arena politik negara berubah signifikan. Ramai pemimpin India baru muncul dengan gelaran Yang Berhormat.

Sebahagian besar masyarakat India mengalihkan sokongan kepada pembangkang. Senario ini lahir daripada rasa tidak puas hati terhadap pelbagai isu membelenggu komuniti, termasuk peluang ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial dan tahap representasi politik. Gelombang perubahan kuat membara pada PRU 2013 sebelum mencapai kemuncaknya pada 2018. Mesej politik semakin jelas bahawa kaum India bukan lagi ‘cek kosong’ dan ‘deposit tetap’. Sokongan perlu diperoleh, diyakini dan dipertahankan melalui prestasi serta keberanian memenuhi aspirasi komuniti.

Pada 2018, parti kerajaan ketika itu hilang hampir keseluruhan sokongan tradisional masyarakat India. Ia gempa politik membuktikan apabila kaum India merasakan suara dan tuntutan tidak lagi diberikan perhatian sewajarnya, mereka mempunyai kuasa mengubah keputusan pilihan raya – malah turut menyumbang kepada perubahan kerajaan pada peringkat Persekutuan.

Momentum itu terus dibawa ke PRU 2022 apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan sokongan sangat tinggi dianggarkan hampir 90 peratus pengundi India, sekali gus menggambarkan tahap keyakinan dan harapan terhadap agenda perubahan. Mereka menaruh harapan PH di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membawa Malaysia ke arah pentadbiran lebih adil, inklusif dan memberi ruang lebih besar kepada suara masyarakat India.

Tidak dinafikan Anwar memiliki sokongan luar biasa dalam kalangan komuniti India. Ramai menjerit dan menangis ketika nama beliau diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10. Jarang sekali kita melihat seorang Perdana Menteri, sebelum dan selepas memegang jawatan, masih mampu mengekalkan aura ketika bersama komuniti India.

Bersahaja, tidak kekok, boleh bergurau dan malah masih boleh menari mengikut lagu pelakon legenda MGR. Itulah antara keistimewaan Anwar. Beliau tetap Anwar yang sama. Mungkin ada yang menyindir, tetapi tidak ramai pemimpin masih mampu membawa ‘karakter santai’ dan dekat dengan rakyat selepas bergelar Perdana Menteri. Undi diberikan bukan sekadar memilih calon atau parti, tetapi lahir daripada satu harapan besar terhadap masa depan, iaitu pengorbanan, sokongan dan kesetiaan politik akhirnya diterjemahkan kepada perubahan benar-benar dirasai.

Namun, di sinilah bermulanya apa yang lebih besar: selepas hampir dua dekad masyarakat India memberikan sokongan konsisten kepada PH, sejauh manakah ia diterjemahkan kepada realiti?

Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, politik masyarakat India memasuki satu fasa berbeza. Perdebatan tidak lagi tertumpu kepada siapa lawan dan siapa kawan, sebaliknya siapa mampu menyampaikan hasil dan menjaga dan menjamin harapan masa depan komuniti itu.

Tidak menuntut bulan dan bintang 

Masyarakat India kini semakin pragmatik dan menilai berdasarkan pencapaian, bukannya sekadar retorik politik. Komuniti India tidak menuntut bulan dan bintang atau meminta layanan istimewa serta sesuatu di luar kemampuan kerajaan. Namun, mereka cukup emosional apabila menyentuh isu dekat dengan kehidupan, khususnya rumah ibadat (kuil) dan masa depan sekolah Tamil.

Begitu juga dalam soal pendidikan seperti peluang ke matrikulasi, kemasukan ke universiti dan akses biasiswa kerana berkait secara langsung dengan masa depan anak mereka. Apa yang mereka mahukan bukanlah pertimbangan atas dasar kaum semata-mata, sebaliknya peluang adil, proses telus dan keputusan berasaskan merit serta kelayakan.

Baru-baru ini, Anwar sekali lagi memohon maaf kepada masyarakat India susulan penggunaan istilah diakui kurang tepat sebelum ini. Beliau mengakui tersilap memilih perkataan dan tidak berniat menyinggung mana-mana pihak.

Tidak ramai pemimpin berjiwa besar untuk mengakui kesilapan secara terbuka. Beliau tidak menunggu keadaan menjadi lebih rumit atau bertahun-tahun untuk memperbetulkannya. Sikap itu menunjukkan keterbukaan, keikhlasan dan ketelusan beliau dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri untuk semua kaum.

Apakah Kerajaan MADANI tidak mempedulikan komuniti India? Kita perlu berbicara secara ikhlas. Jangan meletakkan agenda politik untuk menafikan atau menyembunyikan fakta.

Kerajaan pimpinan Anwar berani melakukan reformasi di Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA). Penubuhan pasukan petugas khasnya membuka ruang untuk proses akauntabiliti dan transparensi. Mungkin tiba masanya kedudukan MITRA dinaik taraf, selari kepentingan serta hubungan begitu akrab antara kerajaan dengan masyarakat India. MITRA tidak seharusnya dilihat unit menguruskan peruntukan atau program bantuan sahaja, tetapi sebagai jambatan strategik.

Tempoh enam dekad dan tiga tahun bukan boleh dibandingkan secara mudah. Namun, perbezaannya cukup ketara. Hampir 60 tahun, angka RM100 juta sering menjadi rujukan dalam perbincangan peruntukan pembangunan masyarakat India.

Dalam tempoh hanya tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, peruntukan MITRA ditingkatkan daripada RM100 juta kepada RM150 juta. Tidak seperti dulu, MITRA nampak lebih agresif menggerakkan pelbagai inisiatif dan bukan lagi bergantung kepada pemberian geran kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pendekatan kerajaan berdasarkan keperluan dan kehendak semasa. Tak perlu tunggu sesi belanjawan. Agenda masyarakat India tidak lagi dilihat hanya melalui lensa MITRA, TEKUN atau pembangunan sekolah Tamil semata-mata. Ia perlu dilihat dalam kerangka lebih luas daripada pemerkasaan ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan peluang pekerjaan hingga kebajikan, mobiliti sosial, pembangunan wanita dan belia serta pengukuhan institusi masyarakat. Lihat sahajalah pelbagai inisiatif direka khas untuk pemerkasaan ekonomi komuniti India yang dilaksanakan dan sedang berlaku.

Masyarakat India tidak lagi wajar dilihat hanya sebagai penerima peruntukan khusus, tetapi sebagai sebahagian arus utama pembangunan negara. Apabila ekonomi berkembang, pekerjaan bertambah, bantuan bersasar diperluaskan dan peluang keusahawanan dibuka kepada semua, masyarakat India turut menikmati manfaatnya.

Persoalannya bukan lagi sekadar ‘berapa banyak kerajaan beri kepada komuniti India’, tetapi ‘sejauh mana dasar kerajaan membuka ruang untuk masyarakat India bergerak lebih jauh, berdikari dan meningkatkan taraf hidup?’

Jiwa dan solidariti masyarakat India cukup kuat apabila berdepan dengan isu menyentuh maruah, kepentingan atau sentimen komuniti. Semangat dan kekuatan ini perlu diterjemahkan dalam lapangan politik secara lebih matang dan strategik. Kematangan politik bukan bermaksud semua mesti berada di bawah satu parti, tetapi mampu bersatu dalam perkara menyentuh kepentingan bersama.

Perbezaan politik tidak lagi menjadi punca perpecahan, sebaliknya kekuatan untuk memastikan suara, kepentingan dan masa depan masyarakat India terus mempunyai tempat yang kukuh dalam politik negara.

Penulis ialah Penganalisis Politik dan Perunding Media

Kredit : Berita Harian

Author

petaiking

Follow Me
Other Articles
Previous

Prosiding komital Nubhan, Dr Afifah bersambung Januari

Next

Jangan mudah percaya suplemen buat ‘anak bijak’

Copyright 2026 — PETAI JERUK. All rights reserved. Blogsy WordPress Theme

Powered by
►
Necessary cookies enable essential site features like secure log-ins and consent preference adjustments. They do not store personal data.
None
►
Functional cookies support features like content sharing on social media, collecting feedback, and enabling third-party tools.
None
►
Analytical cookies track visitor interactions, providing insights on metrics like visitor count, bounce rate, and traffic sources.
None
►
Advertisement cookies deliver personalized ads based on your previous visits and analyze the effectiveness of ad campaigns.
None
►
Unclassified cookies are cookies that we are in the process of classifying, together with the providers of individual cookies.
None
Powered by