Gunung Berapi Jadi Metafora Luka, Aina Abdul Dedah Maksud Di Sebalik Persembahan ‘Kamu’ Di Pentas AJL40
Penyanyi Aina Abdul berkongsi maksud di sebalik persembahan lagu Kamu yang dipentaskan pada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), baru-baru ini.
Aina Abdul di pentas AJL40
Menerusi hantaran di Threads, Aina menjelaskan bahawa setiap elemen yang ditampilkan dalam persembahannya itu sarat dengan simbolik dan makna tersendiri.
Menurut Aina, Kamu menggambarkan luka akibat pengkhianatan, kemarahan dan kekecewaan yang akhirnya meledak selepas terlalu lama dipendam.
Malam ini, Kamu bukan sekadar sebuah lagu. Ia adalah luka yang akhirnya diberi suara. Sebuah pengkhianatan yang membakar, kemarahan yang lama dipendam dan kekecewaan yang meletus seperti gunung berapi selepas terlalu lama hati memilih untuk diam.
Jelasnya lagi, konsep gunung berapi turut diterapkan menerusi busana rekaan Melinda Looi yang digambarkan sebagai simbol kepada jiwa yang terluka akibat dikhianati.
Gambaran hati dan jiwa yang tertusuk akibat dikhianati: ia indah pada pandangan, namun menyimpan luka di sebaliknya. Melalui konsep ini, gunung berapi menjadi metafora kepada perjalanan emosi dalam “KAMU” sesuatu yang bermula jauh di dalam, terus membara dan akhirnya meletus sebagai sebuah kuasa yang tidak dapat dibendung.
Di penghujung persembahan, laungan suara hati yang bersahut bersama koir; ‘Terserah padamu, puas sudah aku menunggumu…” menjadi kemuncak segala rasa yang dibawa sepanjang Kamu. Sebuah luahan selepas terlalu lama memendam amarah, kecewa dan luka.
Menurut Aina, bait tersebut menjadi gambaran kepada segala emosi yang dibawa sepanjang persembahan, termasuk kemarahan, kekecewaan dan luka yang sekian lama dipendam.
Persembahan berakhir dengan rintihan ‘Puas Sudah’ yang menjadi simbolik kepada keputusan untuk melepaskan segala kelukaan masa lalu.
Kemudian, semuanya berakhir dengan satu rintihan terakhir: ‘Puas Sudah’
Dua perkataan yang menjadi simbolik bahawa kelukaan masa lalu tidak perlu dibawa selamanya. Kerana ada luka yang akhirnya perlu dilepaskan. Puas sudah aku menunggu, Kamu.
Pada malam kemuncak AJL40, Aina berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik serta anugerah Ikon Shopee. Penyanyi itu turut diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Asia Song Contest 2026.
Kredit : Oh bulan