Sepanyol juara Euro kali keempat

BERLIN: Penyerang gantian, Mikel Oyarzabal menjaringkan gol kemenangan Sepanyol pada minit ke-86 bagi membantu pasukan itu menewaskan England 2-1 pada aksi final Euro 2024, sebentar tadi.

Kemenangan itu membuktikan kebangkitan semula skuad La Roja di pentas antarabangsa dan meleburkan impian England untuk memenangi gelaran pertama dalam tempoh hampir enam dekad.

Sepanyol kehilangan pemain tengah berpengaruh, Rodri pada separuh masa pertama susulan masalah kecederaan tetapi ia tidak menghalang pasukan itu untuk mendahului menerusi jaringan Nico Williams yang menerima umpanan daripada pemain sayap, Lamine Yamal dua minit selepas rehat.

England bagaimanapun kembali bangkit seperti yang sering dilakukan dalam kempen Euro kali ini apabila pemain gantian, Cole Palmer menyamakan kedudukan pada minit ke-73.

Namun, kebangkitan mereka dalam perlawanan itu dinafikan Oyarzabal yang juga penyerang Real Sociedad apabila dia menyempurnakan hantaran lintang daripada Marc Cucurella empat minit sebelum tamat.

Jaringan itu membolehkan Sepanyol merekodkan kejuaraan Eropah buat kali keempat dan ketiga dalam lima edisi terakhir.

Sepanyol sebelum ini muncul juara pada 1964, 2008 dan 2012, dua gelaran terakhir hadir sama ada sebelum dan selepas kemenangan mereka pada Piala Dunia 2010 ketika era kegemilangan Xavi Hernandez, Xabi Alonso dan Andres Iniesta.

Sama ada generasi kali ini yang diketuai Yamal yang beraksi cemerlang dan bermain sehari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-17 mampu mengulangi pencapaian hebat pasukan itu masih belum dapat dipastikan tetapi mereka sememangnya berhak dengan kemenangan kali ini. – AFP

Pemain tengah Sepanyol, Nico Williams (bawah) dan penyerang Lamine Yamal meraikan kemenangan menjuarai Euro 2024 selepas menundukkan England pada final di Olympiastadion, Berlin sebentar tadi. – Foto AFP

Raja Sepanyol, Raja Felipe IV (dua dari kiri) dan Puteri Asturias meraikan kemenangan bersama pasukan selepas menewaskan England pada final di Olympiastadion, Berlin sebentar tadi. – Foto REUTERS

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *