Malaysia perlukan rakyat yang saling mengenali, memahami
3 mins read

Malaysia perlukan rakyat yang saling mengenali, memahami

KITA memperingati kelahiran Malaysia setiap 16 September. Namun, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, mungkin tiba masanya kita bertanya soalan lebih mendasar: Sejauh mana sebenarnya kita saling memahami?

Malaysia kini dihuni 34.4 juta penduduk dan kekal sebagai masyarakat sangat rencam dari segi etnik, agama, bahasa, budaya dan wilayah. Kepelbagaian ini sepatutnya menjadi kekuatan negara. Namun, hidup bersama dalam sebuah negara tidak semestinya bererti kita benar-benar mengenali antara satu sama lain.

Selepas lebih enam dekad, hubungan antara etnik umumnya melalui proses kematangan. Kita belajar, bekerja, berniaga dan membina kehidupan dalam ruang sosial sama. Namun, pada satu tahap tertentu, hubungan itu masih banyak bersifat toleransi, belum sepenuhnya berkembang menjadi penerimaan dan kepercayaan.

Hal sama dapat diperhatikan dalam hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Masih ada penduduk di Semenanjung yang memahami Sabah dan Sarawak melalui gambaran terlalu umum.

Pada masa sama, wujud juga tanggapan di Sabah dan Sarawak bahawa pengalaman, sejarah dan aspirasi mereka kurang difahami masyarakat di Semenanjung. Sedangkan Sabah dan Sarawak bukan sekadar wilayah di seberang Laut China Selatan, tetapi sebahagian asas sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

Justeru, cabaran terbesar perpaduan mungkin bukan lagi persoalan sama ada kita boleh hidup bersama, tetapi sejauh mana kita bersedia memahami pengalaman orang lain. Stereotaip etnik dan wilayah masih wujud kerana kita kadangkala mengenali masyarakat lain bukan melalui interaksi sebenar, tetapi melalui prasangka diwarisi, naratif politik atau gambaran dipermudahkan.

 Ubah paradigma perpaduan 

Media sosial menjadikan cabaran ini semakin kompleks. Pada 2025, akses internet isi rumah di Malaysia mencapai 97.1 peratus. Teknologi sepatutnya mendekatkan kita. Seorang anak muda di Johor boleh mengenali kehidupan masyarakat Iban di Kapit, manakala seorang mahasiswa di Kota Kinabalu boleh berinteraksi dengan rakannya di Kelantan dalam beberapa saat.

Namun, algoritma media sosial juga boleh membentuk ruang gema atau echo chamber yang menyebabkan kita lebih banyak mendengar pandangan kelompok sendiri. Perbezaan akhirnya tidak lagi diraikan sebagai kepelbagaian, tetapi mudah ditafsirkan sebagai pertentangan.

Di sinilah pendidikan, keluarga dan media mempunyai tanggungjawab jauh lebih besar. Pendidikan mengenai Malaysia tidak seharusnya berhenti pada menghafal tarikh 16 September 1963.

Anak perlu memahami mengapa Malaysia dibentuk, siapa membentuknya serta bagaimana sejarah dan pengalaman masyarakat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung saling melengkapi.

Keluarga pula menjadi sekolah sosial pertama untuk mengajar perbezaan bukan ancaman. Media perlu lebih banyak membawa cerita mengenai kehidupan rakyat biasa merentasi batas etnik, agama dan wilayah.

Jika ada satu perubahan perlu kita lakukan untuk generasi akan datang, ia adalah mengubah paradigma perpaduan daripada ‘belajar bertoleransi’ kepada ‘belajar saling mempercayai’.

Toleransi bermaksud kita bersedia hidup dengan perbezaan. Penerimaan pula bermaksud kita menghormati perbezaan berkenaan. Namun, kepercayaan membawa kita lebih jauh, iaitu kita mula melihat nasib orang lain sebagai sebahagian nasib kita sendiri.

Selepas 63 tahun, Malaysia tidak lagi hanya memerlukan rakyat mampu hidup bersama. Malaysia memerlukan rakyat mahu mengenali, memahami dan mempercayai satu sama lain.

Pada akhirnya, negara tidak menjadi kukuh hanya kerana sempadannya dikongsi bersama, tetapi apabila rakyatnya mempunyai rasa ‘Malaysia ini milik kita bersama dan masa depan kita juga adalah masa depan bersama’.

Kredit : Berita Harian