Tempang tak halang Daren mara

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren mempamerkan erti sebenar berjuang hingga ‘titisan darah terakhir’ apabila dia yang terpaksa bermain dengan ‘sebelah kaki’ berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023, hari ini.

Daren yang layak beraksi dalam kejohanan bertaraf Super 1000 itu pada saat akhir mengakui menahan kesakitan ketika menewaskan pemain Perancis, Tomo Junior Popov 21-15, 14-21, 21-17 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil.

“Sukar sangat sebab saya sudah hampir sebulan tidak jalani latihan kerana kecederaan betis yang saya alami ketika melakukan larian sebelum ini.

Liew Daren terpaksa menahan kesakitan ketika bertemu pemain Perancis, Toma Junior Popov pada Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS.
Liew Daren terpaksa menahan kesakitan ketika bertemu pemain Perancis, Toma Junior Popov pada Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil. NSTP/ASWADI ALIAS.

“Berdepan Popov kali ini memang sengit, dia sedang meningkat naik dan saya pula dibelenggu kecederaan.

“Saya fikir apa yang membezakan kami adalah saya berpengalaman,” kata Daren.

Daren mengakui bergantung kepada sebelah kaki (kaki kiri), amat sukar untuknya melakukan pergerakan malah dia tidak melakukan lompatan ketika melakukan smash.

Kemenangan ke atas Popov menyaksikan dia akan bertemu pemenang perlawanan antara dengan pemain nombor satu dunia dari Denmark Viktor Axelsen dengan rakan senegara, Rasmus Gemke untuk perebutan tiket ke suku akhir Khamis ini.

“Untuk pusingan kedua… bergantung kepada proses pemulihan, jika esok bertambah teruk sakit ini, dan Khamis juga, saya mungkin menarik diri,” kata Daren yang tidak menolak kemungkinan penampilannya hari ini bakal menjadi yang terakhir di Terbuka Malaysia.

 

Kredit: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *