KUALA LUMPUR: Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan satu lagi tambahan menarik ke dalam skuad mereka apabila menandatangani pemain muda berbakat dari Sepanyol, Teto Martin.
Pengumuman rasmi mengenai perpindahan pemain sayap berusia 23 tahun itu dibuat menerusi laman sosial Johor Southern Tigers semalam, dengan Teto menjadi rekrut terbaharu dalam usaha memperkukuh pasukan Harimau Selatan.
“Pemain tengah muda dari Sepanyol milik kami,” kata JDT ringkas di platform media sosial rasmi kelab.
“Selamat datang ke JDT, Teto!”
Teto atau nama sebenarnya Alberto Martin Diaz, menyertai JDT selepas meninggalkan kelab Sepanyol, CD Tenerife, yang mana dia melakukan 21 penampilan dalam saingan La Liga 2 selain dua kemunculan dalam Copa del Rey.
Kehadiran Teto dijangka memberi lebih banyak pilihan taktikal buat ketua jurulatih, Xisco Munoz khususnya di posisi sayap selain memperkukuh persaingan dalam kalangan pemain sedia ada.

Dilahirkan di Santa Cruz de Tenerife, Kepulauan Canary, Teto menyertai akademi CD Tenerife seawal usia sembilan tahun pada 2011.
Dia membuat penampilan sulung bersama pasukan simpanan Tenerife pada 20 Mac 2021, masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dan menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menang 2–0 ke atas Atletico Union Guimar dalam aksi Tercera Division.
Penampilan sulung bersama skuad utama hadir pada 2 Disember 2021 dalam aksi Copa del Rey menentang CD Ibiza Islas Pitiusas, apabila dia menggantikan Emmanuel Apeh pada masa tambahan dan membantu pasukannya menang 2–1.
Kemunculan sulung dalam saingan profesional pula berlaku pada 13 Ogos tahun berikutnya, apabila dia masuk menggantikan Samuel Shashoua ketika kalah 1-2 kepada SD Eibar pada aksi Segunda Division.
Teto mencipta detik istimewa apabila menjaringkan gol profesional pertamanya pada 19 September 2022, menyumbat gol ketiga pasukan ketika menang 3–1 ke atas Malaga CF.
Susulan persembahan konsisten, dia kemudian memperbaharui kontraknya bersama Tenerife pada 11 November 2022 hingga 2027, sebelum akhirnya memilih untuk mengharungi cabaran baharu bersama juara Liga Super 11 kali.
Kredit : Berita Harian
