
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein, mengakui berdepan ujian apabila kehilangan beberapa tawaran kerja selepas mengambil keputusan untuk berhijrah dan tampil dengan imej berhijab.
Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, bukan sahaja tawaran baharu berkurangan, malah beberapa urusan serta kontrak yang sudah diatur sebelum ini turut dibatalkan secara mengejut.
“Ada yang tanya macam mana dengan kerja selepas saya berhijrah. Ya, memang betul… ada kontrak tiba-tiba ditamatkan dan urusan yang sudah dibincang pun ada yang ditarik balik.
“Macam-macam dugaan selepas kita berhijab, tapi saya percaya rezeki datang daripada Allah dalam pelbagai bentuk,” katanya menerusi perkongsian di Instagram (IG).
Penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu tidak menafikan, sebagai manusia biasa, hatinya pernah diselubungi rasa gusar. Namun, keyakinan terhadap janji Allah menjadi kekuatan untuk terus istiqamah.
“Kita manusia, memang ada rasa risau. Tapi insya-Allah, tak perlu takut sebab rezeki itu tetap ada untuk kita.

“Kalau sudah tertulis rezeki itu milik kita, tiada siapa boleh mengambilnya. Kalau bukan milik kita, memang bukan rezeki,” katanya.
Elly menambah, kehilangan beberapa tawaran kerja bukan penamat rezeki, sebaliknya permulaan kepada sesuatu yang lebih indah.
“Hilang dua, tiga atau empat tawaran sekalipun, Allah pasti gantikan dengan sesuatu yang lebih baik,” ujarnya penuh yakin.
Dalam masa sama, Elly tampil memberikan penjelasan awal mengenai beberapa video lama yang bakal tular memaparkan dirinya belum berhijab.
“Saya buat video ini sebab tak mahu timbul kekeliruan. Ada beberapa video yang sudah dirakam sebelum penghijrahan saya dan melibatkan ramai pihak.
“Saya tak mahu orang keliru ingatkan saya buka tudung pula. Jadi, saya beritahu awal-awal supaya semuanya jelas,” katanya.
Kredit : Berita Harian