
MENYEDIAKAN hidangan berkhasiat untuk seisi keluarga boleh menjadi cabaran, terutamanya bagi mereka yang menjalani gaya hidup sibuk.
Bagaimanapun, hal ini perlu ditangani kerana pemakanan sihat adalah asas kepada kehidupan lebih baik dan kesihatan yang optimal.
Ia memberikan tenaga, nutrien, dan perlindungan yang diperlukan untuk badan kita berfungsi dengan baik.
Menurut American Academy of Pediatrics, terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan bagi membantu meningkatkan tabiat pemakanan untuk keluarga. Antaranya yang boleh diamalkan;
1. Jangan abaikan sarapan
Lazimnya, ibu akan sentiasa mengutamakan pengambilan sarapan untuk keluarga. Ini seharusnya dan memang betul kerana sarapan ialah hidangan paling penting dalam sehari.
Namun, disebabkan kesibukan dan bergelut masa, kebanyakan keluarga sering meninggalkannya.
Ahli pemakanan dan psikologi telah mengenalpasti, sarapan dikaitkan dengan ingatan yang lebih baik, keputusan ujian yang lebih tinggi, tumpuan yang lebih baik, berat badan yang lebih sihat, serta pemakanan keseluruhan yang lebih baik.
2. Sentiasa sediakan snek sihat
Buah-buahan, sayur-sayuran, keju, dan bijirin penuh ialah pilihan snek yang hebat untuk anak yang lapar.
Snek boleh menyokong, malah meningkatkan pelan pemakanan sihat anak anda jika anda menyediakan makanan yang betul di rumah.
Elakkan pengambilan snek kurang sihat secara berlebihan kerana ia boleh menimbulkan masalah obes.
Kebiasaannya, snek kurang sihat mengandungi jumlah lemak yang tinggi sekali gus meningkatkan risiko obesiti.
3. Kawal saiz hidangan
Makan berlebihan mudah berlaku apabila makanan dihidang terlalu banyak.
Pastikan anda tahu perbezaan antara “saiz hidangan” dan “saiz bahagian”.
Antara tip mengawal saiz hidangan adalah dengan menggunakan pinggan yang lebih kecil. Apabila menggunakan pinggan yang lebih kecil, pinggan akan lebih cepat kelihatan ‘penuh’ walaupun sebenarnya, saiz hidangan adalah lebih kecil berbanding menggunakan pinggan bersaiz besar.
Saiz hidangan yang kecil inilah yang membantu anda mengawal pengambilan kalori serta mengelakkan makan secara berlebihan.
4. Makan bersama keluarga
Amalkan budaya makan bersama-sama dengan keluarga kerana ia memberikan banyak manfaat.
Pakar turut berpendapat, meluangkan masa makan bersama-sama dengan keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberikan kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak.
Malah, makan bersama keluarga dapat membantu semua orang makan dengan lebih sihat, menjadi cara yang menyeronokkan untuk mencuba makanan baharu, serta masa yang baik untuk bersembang dan mengeratkan hubungan keluarga.
5. Elakkan media atau gajet ketika waktu makan
Elakkan menggunakan gajet atau menonton skrin ketika makan kerana ia boleh mengganggu keseronokan makanan dan menyebabkan pengambilan makanan berlebihan.
Selain daripada itu, tabiat buruk itu turut mengurangkan tumpuan, menghalang komunikasi sosial, dan meningkatkan risiko pemindahan kuman.
Waktu makan ialah masa penting untuk berbual dan berkongsi pengalaman seharian bersama keluarga tanpa gangguan daripada media.
Kredit : Berita Harian