KUALA LUMPUR: Pelakon, Mia Sara Nasuha, mengakui antara harapan terbesarnya tahun ini adalah untuk menghakis persepsi masyarakat, termasuk penggiat industri seni, yang masih melihat dirinya sebagai pelakon cilik.

Enggan terus terperangkap dengan watak pelajar sekolah semata-mata, pelakon yang mula menceburi bidang seni sejak 2008 itu berkata, dia kini bersedia meneroka pelbagai peranan baharu yang lebih matang, seiring dengan usianya yang kini mencecah 21 tahun.

“Sejujurnya, saya memang tidak mahu lagi dilihat sebagai kanak-kanak. Walaupun fizikal saya bersaiz kecil, saya faham, tetapi saya tidak suka apabila terus dipandang sebagai budak kecil.

“Saya mahu beralih kepada watak lain dan cuba berubah. Saya percaya setiap orang ada rezeki dan perjalanan masing-masing, dan ini adalah laluan saya,” katanya.

Mia ditemui pada majlis pelancaran drama vertikal lakonannya, FYP Macam VIP di McDonald’s Pantai Sentral Park DT, di sini, malam tadi.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Zoo The Series (2011) dan Strawberi & Karipap (2013) itu berkata, dilabel sebagai pelakon cilik pada usia sekarang adalah sesuatu yang menyakitkan.

Menurutnya, persepsi berkenaan membuatkan dirinya terperangkap dalam zon sama, selain menyukarkan usaha menonjolkan potensi sebenar.

“Saya sudah penat menjadi budak kecil dan tidak diambil serius. Saya memang bersyukur dengan pengalaman sebagai pelakon kanak-kanak, apatah lagi apabila peminat memberitahu saya menceriakan zaman kanak-kanak mereka.

“Namun hidup perlu diteruskan. Saya tidak boleh kekal sebagai kanak-kanak selamanya,” katanya.

Mia mengakui, antara kesakitan terbesar apabila masih dilihat sebagai kanak-kanak adalah apabila pandangannya sering ditolak dan tidak diberi perhatian.

“Perkara itu memberi kesan kepada mental. Bercakap mengenai kesihatan mental, saya sebenarnya sudah lama berjuang sejak usia 15 tahun.

“Saya pernah berkongsi perjalanan kesihatan mental saya menerusi MTV Asia dan ia bukan sesuatu yang saya sorokkan,” katanya sambil menahan sebak.

Dalam pada itu, pelakon filem Papa I Love You (2011) itu berkata, tahun 2026 menjadi fasa penting untuk dirinya menentukan hala tuju kerjaya.

“Sejak awal tahun, saya banyak mencuba pelbagai perkara dan mencari apa yang paling selesa sebelum memberi fokus sepenuhnya.

“Saya masih mahu terus menjadi pelakon, tetapi bukan lagi dengan perkara sama seperti sebelum ini,” katanya.

Mia berkata, kali terakhir dia memegang watak pelajar sekolah adalah pada usia 19 tahun, namun masih menerima tawaran serupa ketika mencecah usia 20 tahun.

“Tahun ini saya benar-benar berusaha untuk masuk ke fasa baharu. Saya mahu buang persepsi lama terhadap diri saya dan bergerak ke hadapan kerana saya sudah penat dipandang sebagai budak kecil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mia tampil dalam drama vertikal, FYP Macam VIP, hasil kolaborasi strategik antara McDonald’s Malaysia dan Media Prima Berhad (MPB).

Siri terbitan Layar Lucida itu diarahkan oleh Junaidah Mohd Nor dan Syahnur Asyikin Kee Charles, turut dibintangi Rykarl Iskandar, Zaki Yamani dan Serra Kamal.

Drama enam episod berdurasi dua hingga tiga minit setiap satu itu ditayangkan secara eksklusif di platform TikTok rasmi Drama Sangat bermula jam 9 malam tadi.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *