KUALA LUMPUR: Shila Amzah menyifatkan kehidupan glamor yang dikecapi bintang cilik atau ‘child star’ mempunyai implikasi tertentu terhadap kehidupan mereka jika tidak diberi perhatian sewajarnya.

Berkongsi realiti sebenar bergelar bintang cilik, Shila yang memulakan karier sebagai penyanyi seawal usia sembilan tahun berkata, membesar di hadapan khalayak dan menjadi sorotan sejak kecil, secara tidak langsung memberi kesan kepada proses tumbesaran.

“Pada saya, menjadi bintang cilik yang bermula terlalu awal, apatah lagi membesar di hadapan mata umum, seseorang itu sebenarnya kehilangan peluang untuk menjalani proses membesar yang normal.

“Perkara ini memberi kesan besar daripada segi mental dan fizikal. Saya sendiri pernah mendapatkan rawatan dan berjumpa dengan doktor untuk perkara ini,” katanya sidang media konsert Resonance: Shila Amzah In Harmony – 25 Years of Music & Memories di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), di sini, semalam.

Shila atau nama sebenar, Nurshahila Amir Hamzah, 35, bagaimanapun menegaskan kehidupan seseorang bintang cilik akan menjadi positif jika mendapat dorongan dan sokongan sepatutnya.

Akui penyanyi yang menempa nama di China itu, dalam tempoh peralihan fasa hidup dilalui kanak-kanak, keseimbangan terhadap kerjaya dan perkara asas dalam kehidupan perlu diutamakan.

“Apa yang ingin saya sampaikan, dengan sokongan yang betul, peralihan fasa dalam kehidupan seseorang bintang cilik itu boleh dilalui dengan baik.

“Namun, jika sokongan yang diberi hanya tertumpu kepada kerjaya semata-mata, peralihan itu akan menjadi sangat sukar buat mereka,” kata Shila yang merakamkan album pertama berjudul Terima Kasih Guru pada usia 10 tahun.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Patah Seribu itu berkata, bintang cilik juga perlu diberi perhatian terutama dalam aspek kehidupan mereka.

“Saya tidak mengatakan kesalahan ini terletak 100 peratus pada satu pihak sahaja. Tetapi, apabila seseorang bintang cilik itu mencapai usia sekitar 18 atau 19 tahun, mereka sering dianggap lebih matang berbanding rakan sebaya.

“Hakikatnya, apabila zaman kanak-kanak mereka ‘diragut’ lebih awal, kesannya pasti akan mengganggu kesihatan mental,” katanya.

Dengan pengalaman dan pemerhatiannya bergelar anak seni sejak kecil, Shila berkata, dia tidak memberi galakan untuk memulakan kerjaya seni sejak kanak-kanak.

“Secara jujur, saya tidak menggalakkan kanak-kanak memulakan kerjaya dalam industri hiburan terlalu awal kerana perkembangan lobus frontal (bahagian hadapan otak) mereka masih belum matang sepenuhnya.

“Pada usia itu, mereka belum mampu membezakan sepenuhnya antara betul dan salah dan cenderung mempercayai bahawa segala yang disusun serta ditentukan untuk mereka adalah yang terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shila bakal mementaskan konsert solo sempena 25 tahun pembabitannya dalam industri seni, iaitu Resonance: Shila Amzah In Harmony – 25 Years of Music & Memories di DFP pada 9 Mei depan.

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *