KUALA LUMPUR: Pelakon, Linda Hashim menyifatkan suaminya, Beego, sebagai kejam kerana didakwa sengaja melengahkan proses perceraian mereka yang sudah berlarutan hampir setahun.
Linda berkata, hubungan rumah tangga mereka sudah lama rosak dan tiada lagi perkara yang wajar dipertahankan.
“Dia kejam dan sengaja mahu memanjangkan keadaan ini. Pada saya, cukuplah. Perkara ini sangat kejam terhadap saya.
“Dia tahu keadaan saya sekarang. Kes ini sudah setahun berjalan, tetapi dia masih tidak mengalah. Jadi, pada saya, dia memang kejam,” katanya.
Linda ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, petang tadi.
Menurut Linda, keputusan untuk tidak kembali bersama dibuat kerana bimbang keadaan menjadi lebih berkecamuk dan tidak mahu perkara itu menambah dosanya.
“Jika kami kembali bersama, saya tahu ia akan membawa kepada perkara yang tidak baik. Dia sepatutnya lebih matang.
“Dia perlu fikir apa yang akan berlaku pada masa depan jika kami kembali berbaik. Perkara ini tidak berlaku kepada dia.
“Semua ini berlaku kepada saya. Saya yang menanggung kesakitan bertahun-tahun, sedangkan dia tidak pernah merasainya,” katanya.
Tambah Linda, kemungkinan itu menyebabkan Beego merasakan hubungan mereka masih boleh diperbaiki.
“Mungkin sebab itu dia rasa semuanya baik-baik sahaja dan masih boleh diperbaiki kerana dia tidak pernah melalui kesakitan itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Linda turut mendedahkan Beego memfailkan tuntutan wang tunai sebanyak RM10,000 terhadapnya tanpa menjelaskan secara terperinci tujuan tuntutan tersebut.
“Dia failkan tuntutan RM10,000 terhadap saya. Dia masukkan pembelaan dan meminta jumlah itu.
“Namun, dia tidak nyatakan tuntutan tersebut untuk apa. Mungkin untuk kos-kos tertentu,” katanya.
Kredit : Berita Harian
