KUALA LUMPUR: Nabila Huda berkongsi hasrat melanjutkan pengajian dalam bidang kulinari, tahun ini, usaha yang memberi bayangan dirinya mahu meneroka cabang baharu dalam hidup.
Melalui perkongsian Threads, Nabila atau mesra disapa Abil, 41, mengakui minat terhadap dunia masakan bukanlah baharu, malah, sudah lama bertapak dalam diri.
“Anda tahu apa yang saya rasa hendak buat tahun ini? Kalaulah ada peluang dan masa, saya teringin sangat hendak pergi ke sekolah masakan.
“Mungkin masih belum terlambat untuk saya mengejar impian yang lain… Memasak sentiasa menjadi cinta pertama saya!” luahnya.
Bintang filem seram Munafik ini berkata, impian itu bukan sekadar angan-angan, sebaliknya, perancangan yang mahu direalisasikan jika diberi ruang dan kesempatan.
Dalam hantaran sama, Abil meminta cadangan warganet untuk menyenaraikan institusi kulinari terbaik yang boleh dipertimbangkan.
“Nampaknya, macam satu perancangan yang menarik. Okay, apa kata anda semua senaraikan sekolah kulinari terbaik yang anda tahu,” katanya.
Kredit : Berita Harian
